Home > Dramatik Kool > Surat Merah Jambu

Surat Merah Jambu

Sinopsis

Doktor Ayumi (berusia 20-an), seorang pelatih di sebuah hospital swasta tiba-tiba bertembung dengan bekas gurunya sewaktu di sekolah menengah dahulu, iaitu Cikgu Ilham. Ilham (berusia 40-an), ditimpa kemalangan dan cedera parah di kaki. Ilham tidak dapat berjalan dan memerlukan terapi serta masa untuk dapat berjalan semula. Doktor Ayumi kebetulan ditugaskan untuk merawat Ilham yang pada waktu itu turut mengalami kemurungan akibat kegagalan rumahtangganya. Pada mulanya Ayumi berat hati untuk bertentang mata dengan Ilham, kerana Ayumi masih ingat lagi peristiwa pahit yang menimpa dirinya sewaktu di bangku sekolah.

Sewaktu Ayumi belajar di tingkatan tiga, Ayumi pernah menaruh hati pada gurunya iaitu Ilham. Pada suatu hari Ayumi yang pada waktu itu masih mentah telah mengambil keputusan untuk menulis surat cinta kepada guru pujaannya itu. Malangnya surat cinta yang ditulis oleh Ayumi telah dijadikan sebagai bahan pengajaran oleh Ilham, dengan tajuk ‘kesalahan tatabahasa dalam surat tidak rasmi’. Tindakan Ilham itu membuatkan hati Ayumi hancur berkecai, Ayumi mengambil keputusan berpindah sekolah kerana tidak tahan diejek oleh rakan sekolahnya, akibat menulis surat cinta kepada cikgu. Semenjak bertukar sekolah, hidup Ayumi tidak gembira, kerana dia kehilangan kawan-kawan. Sejak itu Ayumi menaruh dendam terhadap bekas gurunya iaitu Ilham. Ayumi tidak pernah terfikir dia akan bertembung dengan Ilham, dalam keadaan Ilham yang cedera parah dan tidak berupaya.

Pada waktu itu, Ilham langsung tidak ingat apa-apa tentang Ayumi. Ilham rasa dirinya seorang loser dan hidupnya telah hancur sejak dia berpisah dengan isterinya. Tambah malang lagi Ilham ditimpa kemalangan dan tidak boleh berjalan. Ilham putus-asa dan hilang semangat untuk hidup. Perasaan Ayumi pula bertukar daripada dendam menjadi simpati kepada nasib Ilham. Ayumi berazam untuk merawat Ilham serta mengembalikan semangat Ilham. Ilham pula membalas kebaikan Ayumi dengan sikap acuh tak acuh. Semakin tinggi ego Ilham, semakin tinggi semangat Ayumi untuk melihat Ilham kembali ke sediakala. Ayumi menggunakan pelbagai cara untuk menyedarkan Ilham, bahawa hidupnya belum berakhir.

Pertelingkahan dan perbalahan antara Ilham dan Ayumi adakalanya melucukan, disebabkan sikap Ilham yang degil dan Ayumi yang tidak mahu mengalah. Mereka berdua saling bertikam lidah dan sindir-menyindir. Ayumi berjaya buktikan bahawa Ilham masih ada semangat dan kepercayaan dalam hidupnya. Lama-kelamaan hati Ilham mula lembut dan Ayumi pula sedar yang dia telah jatuh hati pada insan yang pernah dibencinya itu. Adakah Ilham juga mempunyai perasaan sama seperti Ayumi? Adakah Ayumi akan berterus-terang pada Ilham tentang kisah cinta monyetnya sewaktu di zaman persekolahan dulu? Bagaimanakah reaksi Ilham apabila dia mendapat tahu bahawa Ayumi adalah bekas muridnya? Semuanya akan terjawab dalam Dramatik Kool Mac.

 

Watak & Perwatakan

Faizal Hussein sebagai Ilham

Seorang lelaki berusia 40-an. Merupakan seorang guru. Seorang yang kacak dan berpenampilan menarik. Seorang yang tegas, ego, degil, tetapi penyayang. Hilang semangat untuk hidup setelah berpisah dengan isterinya dan ditimpa kemalangan yang menyebabkan kakinya tidak dapat berjalan. Berubah menjadi seorang yang murung, tidak suka bercakap dan tidak suka mendengar nasihat orang lain.

 

Wan Sharmila sebagai Ayumi

Seorang wanita berusia 20-an. Merupakan seorang doktor pelatih di sebuah hospital swasta. Seorang yang peramah, mesra, lemah lembut, tapi keras hati. Seorang yang suka bergurau, tapi kadang-kadang hanya dia seorang yang faham. Pernah jatuh cinta pada gurunya sendiri sewaktu di bangku sekolah. Seorang yang pendendam, tetapi dendamnya terlerai setelah melihat orang yang dibencinya dalam keadaan yang tidak berupaya. Seorang doktor yang profesional dan sangat mengambil berat tentang pesakit.[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]

Kongsi laman ini di: