Semasa & Hiburan
Pelawak Baru Tidak Gugat Ebby Yus
Ebby bersyukur masih ada tawaran menjayakan sitkom dan program TV.
Pelawak baru di dalam industri hiburan ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Bagi pelakon dan pelawak Ebby Yus, 55, perkara itu tidak menjadi masalah untuk dirinya.
“Walaupun pelawak baru mendominasi industri hiburan dan semakin jadi perhatian, saya tidak pernah rasa terpinggir.
“Saya tidak terasa hati. Alhamdulillah, diri ini masih dihormati.
“Mereka (pelawak baru) sangat prihatin, banyak membantu dan selalu bertanya khabar,” katanya.
Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid juga sedar era pelawak seangkatannya sudah berlalu.
“Bukan berpunca daripada pelawak baru maka yang lama dipinggirkan. Itu semua bergantung kepada permintaan stesen TV dan produksi.
“Saya bersyukur apabila kesihatan semakin baik sudah mula ada tawaran menjayakan sitkom dan program TV.
Dalam perkembangan terbaru, Ebby muncul dalam sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut musim kelima (JKKK5) yang disiarkan di TV3 setiap Ahad.
Sumber: Harian Metro