Connect with us

Berita

Mayat Ke-8 Mangsa Kejadian Tanah Runtuh Di Bukit Kukus Ditemui

Angka korban akibat kejadian tanah runtuh, di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang pada Jumaat lalu kini memasuki lapan orang manakala tiga cedera dan tiga lagi dikhuatiri tertimbus susulan kejadian terbabit.

Published

on

Angka korban akibat kejadian tanah runtuh, di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang pada Jumaat lalu kini memasuki lapan orang manakala tiga cedera dan tiga lagi dikhuatiri tertimbus susulan kejadian terbabit.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah, berkata mangsa kelapan kejadian tanah runtuh dikenal pasti sebagai lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Subaeri ditemui di Sektor 1, pada jam 12.10 tengah hari tadi.
“Mayat Subaeri ditemui berhampiran cerun yang juga lokasi runtuhan rumah kongsi didiami pekerja binaan bagi projek ini.
“Mayatnya ditemui tertanam dalam sisa runtuhan sedalam satu meter dengan seluruh anggota badannya masih bercantum.” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad Shoki berkata, pencarian kontena ‘misteri’ masih diteruskan selepas pihaknya berhadapan kesukaran untuk menggali sisa runtuhan di kawasan terbabit.
“Ini kerana, sisa runtuhan di plot yang dikenal pasti itu sangat dalam, kira-kira 20 meter. Kita juga terpaksa menambah bilangan jentera untuk kerja menggali ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang, berkata proses pengecaman mayat ketujuh juga terpaksa dibuat berdasarkan jari kakinya yang bercantum susulan kepala mayat Md Abdul Jalil, 34, terputus, selain tangan kiri dan kaki kanannya masih belum ditemui.
“Proses mencari mayat mangsa ketujuh agak sukar selepas dia didapati terbenam kira-kira 10 meter dalam sisa runtuhan terbabit dan hanya dikenal pasti melalui jari manis dan kelingking kaki kirinya yang bercantum.” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh kini masih diteruskan dengan kerja pengalihan batu dibuat di Sektor 1 terlebih dahulu memandangkan keadaan tanah di Sektor 2 dan Sektor 3 masih belum stabil.
Projek bernilai RM545 juta itu merupakan laluan alternatif yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul dan dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jadual asal.

Advertisement

Instagram

Something is wrong.
Instagram token error.
Advertisement

Facebook

Advertisement
Advertisement