Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Pandemik COVID-19 Didik Ramai Orang Buat Perancangan Kewangan Yang Baik

Nilai semula kedudukan kewangan anda…

Published

on

Apa yang pasti, pandemik COVID-19 sudah pun memberi kesan dan menjejaskan ekonomi negara. Ia juga secara tidak langsung meninggalkan kesan mendalam kehidupan rakyat di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Namun, dalam mengharungi cabaran ekonomi baharu ini, kita bersyukur apabila kerajaan kali pertama melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara menyeluruh. Ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan ramai pihak.

Walau bagaimanapun, tempoh enam bulan yang diberikan oleh kerajaan itu akan tamat pada 30 September ini. Dengan tamatnya tempoh moratorium, pasti ramai yang bakal menghadapai kesukaran menanggung semula pembayaran balik ansuran dan pinjaman. Hal ini sebenarnya amat membimbangkan, lebih-lebih lagi sekiranya anda benar-benar terkesan dengan situasi ekonomi sekarang. Ia mungkin akibat daripada pengurangan gaji atau pemberhentian kerja yang menjejaskan sumber pendapatan anda.

Jika dilihat pada sudut yang berbeza, pengakhiran tempoh moratorium ini membuka peluang buat kita semua untuk meneliti semula dan memperbaiki situasi kewangan masing-masing. Penilaian semula kedudukan kewangan perlu dilakukan sebagai persediaan menghadapi cabaran seterusnya. Kita harus berfikir seperti seorang pegawai kewangan yang perlu membuat persediaan rapi jika berlaku sebarang perubahan pada kedudukan kewangan.ย 

Jadi sebenarnya ini lah masa yang sesuai untuk anda mengkaji komitmen pinjaman dan pembiayaan bulanan, menyelaras bajet perbelanjaan harian dan isi rumah berdasarkan kemampuan pendapatan serta memastikan simpanan boleh bertahan untuk jangka masa lama. Walaupun moratorium pinjaman tidak akan dilanjutkan, rata-rata institusi perbankan di Malaysia giat membantu peminjam terkesan menerusi program bantuan pembayaran semula bersasar.

Ini juga merupakan peluang terbaik buat mereka yang terjejas teruk untuk membuat pelanjutan tempoh moratorium untuk tiga bulan lagi. Jika anda antara individu yang menerima pengurangan gaji, anda boleh menyemak semula syarat pinjaman dan memohon pembiayaan bulanan diringankan secara berkadar sekurang-kurangnya enam bulan bermula 1 Oktober depan.

Namun perlu diingat sepanjang menerima tempoh moratorium ini ia bukanlah bermakna anda mempunyai wang lebihan dan boleh berbelanja lebih daripada yang sepatutnya. Tempoh moratorium ini merupakan tempoh untuk anda menilai semula perbelanjaan bulanan dan membuat pengurangan mengikut pendapatan atau keadaan semasa. Di samping itu anda juga mampu untuk memaksimakan simpanan bulanan juga untuk kegunaan semasa kecemasan. Inilah tujuan asal moratorium dan bila tempohnya sudah tamat, anda bersedia untuk menyambung pembayaran pinjaman.

Pihak bank juga sedaya upaya membantu anda meneruskan pembayaran pinjaman. Namun, anda terlebih dahulu perlu menghubungi pihak bank dan mula berbincang untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas berkenaan pinjaman dan bantuan bersasar sedia ada. Bantuan pembayaran semula bersasar didatangkan dengan satu kelebihan. Menurut Bank Negara Malaysia, skor kredit peminjam dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak akan terjejas sekiranya mereka membuat penstrukturan dan pembiayaan semula pinjaman menerusi program ini.

Maka, jelaslah bahawa pandemik COVID-19 ini juga mengajar kita untuk membuat perancangan kewangan sebaiknya agar tidak menjejaskan kesinambungan hidup kita. Jika anda rasakan anda bakal hadapi kesulitan menjelaskan komitmen pinjaman, jangan teragak-agak untuk hubungi institusi perbankan. Harap amalan penilaian kedudukan kewangan ini dapat diteruskan walaupun selepas pandemik ini selesai.ย 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber daripada: Berita Harian

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement