Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Trend Hamil Usia Lewat, Banyak Risiko & Menyusahkan Ke?

Komplikasi seperti darah tinggi dan kencing manis.

Published

on

Kadang-kala, bukan disengajakan untuk hamil pada usia yang lewat. Namun disebabkan pendidikan, membina kerjaya serta membantu keluarga dan sebagainya, ramai wanita memilih untuk berkahwin lewat dan mengetepikan hal anak terlebih dahulu.

Hamil pada usia yang mencecah 35 tahun dan ke atas, dunia perubatan menyifatkan kehamilannya sebagai ‘Fasa Keibuan Yang Lewat’. Namun, pada hari ini, trend melahirkan anak pertama semakin berubah. Jika dahulu, lebih ramai wanita melahirkan anak pada usia awal 20-an, trend melahirkan anak pada usia melebihi 30-an ini semakin diterima.

Sumber Foto: 17ninety.com

Jika anda tergolong dalam kalangan wanita yang bakal melahirkan anak pada usia lewat, tidak mengapa. Anda masih boleh teruskan. Jangan lupa untuk menjaga pemakanan dan sentiasa dapatkan nasihat daripada doktor. Pemakanan memainkan peranan penting sewaktu hamil bagi memastikan si ibu kekal sihat dan aktif sepanjang tempoh kehamilan hingga melahirkan. Makanan berkhasiat tidak hanya baik untuk ibu malah bermanfaat untuk bayi yang dikandung. Cuma dalam peringkat usia seperti itu, kehamilan tidak semudah yang disangka.

Anda lebih banyak terdedah dengan komplikasi semasa kehamilan dan proses kelahiran jika dibandingkan dengan wanita muda. Secara umum, wanita yang hamil pertama pada usia mencecah lebih 35 tahun ini terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan. Bermula dari peringkat sebelum kehamilan sehinggalah proses kelahiran mereka memerlukan persediaan rapi. Ini merangkumi kesuburan, pelbagai komplikasi semasa hamil, risiko kecacatan bayi dan masalah semasa melahirkan.

Sumber Foto: 17ninety.com

Kebanyakan wanita yang hamil di usia lewat berhadapan dengan masalah seperti cepat penat dan keletihan yang luar biasa. Tidak dinafikan ada di antara mereka terpaksa melalui fasa kehamilan yang cukup perit. Masalah kencing manis dan tekanan darah tinggi antara yang dialami mereka. Malah ada juga yang perlu melahirkan bayi lebih awal bagi menyelamatkan anak yang dikandung. Bagi ibu yang hamil pada usia lewat, antara risiko yang mungkin dihadapi ialah:

Sumber Foto: 123rf.com

  • Komplikasi seperti darah tinggi dan kencing manis.
  • Kesukaran sewaktu bersalin.
  • Pendarahan yang banyak selepas bersalin.
  • Meningkatkan risiko bayi mati di dalam kandungan.
  • Risiko bayi lahir awal (pramatang) dan lahir kurang berat badan.
  • Masalah keguguran juga meningkat seiring dengan peningkatan usia wanita.
  • Berisiko melahirkan anak yang mengalami kecacatan genetik seperti Sindrom Down.
  • Terdedah pada satu keadaan yang dikenali seperti aneuploidy. Ini menyebabkan kecacatan pada bayi. Biasanya, kehilangan kromosom ini menyebabkan keguguran secara spontan pada peringkat awal kehamilan.
  • Hipertensi, iaitu sejenis lagi ancaman kepada wanita hamil dan bayi dalam kandungan boleh mengakibatkan kerosakan jantung, buah pinggang dan otak.
  • Pembentukan fibroid dalam rahim juga antara faktor penyumbang risiko ini. Masalah uri tidak dapat membawa makanan kepada bayi boleh mengganggu tumbesaran bayi.
  • Kehamilan luar rahim yang dikenali sebagai kehamilan ektopik biasa berlaku di kalangan wanita berusia. Dengan erti kata lain, meskipun wanita mampu mengatasi `had’ yang ditetapkan ini, mereka perlu bersedia untuk berdepan dengan pelbagai komplikasi.

Oleh itu, pastikan setiap pasangan mendapatkan khidmat nasihat yang tepat dan berbincanglah dengan penyedia kesihatan dalam perancangan kehamilan yang selamat. Peranan keluarga sangat mempengaruhi dalam pemilihan dan perancangan. Tiada siapa yang mahu kehamilannya diakhiri tragedi. Wanita yang inginkan kehamilan selamat perlu merancang bersama pasangan untuk menentukan waktu sesuai dan perancangan bilangan anak yang diingini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Babycenter

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement