Connect with us
On Air Di Kool

Berita

Penemuan Masjid Tertua Di Malaysia

Masjid zaman Kesultanan Melayu Melaka?

Published

on

Penemuan sebuah masjid lama yang terbiar usang di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Alor Gajah ini mungkin menjadi masjid tertua yang masih boleh dilihat di Malaysia. Dakwaan tersebut adalah selepas wujud beberapa bukti bahawa ia dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Walau bagaimanapun, ia masih lagi satu kesimpulan awal yang dibuat oleh dua pakar sejarah tamadun Islam dan arkeologi, Pemangku Pengarah Institut Alam dan Ta­madun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli serta Pe­ngasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam, Hasanuddin Yusof.

Menurut Dr. Zuliskandar, melalui beberapa bukti yang ditemui, masjid tersebut berkemungkinan dibina dan digunakan pada abad ke-15 atau 16 masihi. Bukti yang diperolehi adalah melalui bahan binaan yang masih ada di masjid tersebut yang dikatakan sudah wujud pada akhir abad ke-17 (tahun 1601 hingga 1700).

Tambahan lagi, dari segi asas binaan yang menggunakan blok batu laterit yang besar, ia merupakan satu perkara yang sudah sedia maklum penggunaannya yang berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Itu merupakan petunjuk awal yang boleh mengaitkan pembinaan masjid tersebut sekitar abad ke-15.

Sekiranya penemuan beberapa bukti awal itu dapat disahkan dengan fakta, binaan itu boleh diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia. Di Malaysia setakat ini, Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Kelantan merupakan masjid tertua yang dibina pada abad ke-18.

Apa-apa pun, dapatan dan petunjuk awal yang diperolehi itu perlu dibuktikan dengan kajian dan data imperikal untuk menyokong andaian berkenaan sebelum ia dapat diiktiraf secara rasmi. 

 

 

 

 

 

 

Sumber daripada: Kosmo

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement