Connect with us
On Air Di Kool

Gaya Hidup

Kayuh Basikal Jadi Trend, Ini Kelebihan Yang Ramai Tak Tahu

Sukan berbasikal membuatkan jantung anda mengepam dan dalam masa yang sama tidak meletakkan terlalu banyak tekanan pada sendi.

Published

on

Nampaknya trend berbasikal semakin menjadi ikutan orang ramai selepas ia mula disertai oleh golongan-golongan selebriti seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Aliff Satar, Hawa Rizwana dan ramai lagi. Ada juga yang berpendapat ia merupakan sukan yang sesuai dilakukan memandangkan kita masih perlu menjaga penjarakan sosial. 

Disebabkan ia semakin diminati ramai, jalan raya juga kini seakan-akan dibanjiri dengan kumpulan-kumpulan berbasikal ini yang selalunya akan melakukan aktiviti mereka secara berkumpulan. Ia sehingga menimbulkan sedikit isu penggunaan jalan raya yang risau akan keselamatan kumpulan berbasikal ini. Walau bagaimanapun, diharap kepada siapa-siapa yang ingin melakukan aktiviti kayuh basikal ini untuk mengutamakan keselamatan diri dahulu. 

Sebenarnya, ada sebab kenapa aktiviti berbasikal ini semakin diminati sehingga ia menjadi trend di Malaysia. Jadi, ini merupakan antara kelebihannya melalui perkongsian di laman Hello Doktor yang mungkin ramai di antara anda tidak tahu. Bila dah tahu, mungkin lepas ini anda juga akan turut mengikuti trend kayuh basikal ini.

Bakar kalori

Pembakaran kalori mungkin boleh dilakukan dengan pelbagai aktiviti sukan yang lain, namun dengan berbasikal anda sebenarnya akan kehilangan banyak kalori. Dikatakan setengah jam berbasikal dengan berat 155 paun di atas basikal pegun akan membakar 260 kalori. Tetapi jika anda mempunyai berat badan yang lebih dan berbasikal pada tahap intensiti yang tinggi, anda akan membakar lebih banyak kalori.

Baik untuk sendi

Kalau anda nak tahu, sukan seperti berjoging mempunyai kesan yang kurang baik terhadap sendi kaki kita. Tetapi, sukan berbasikal membuatkan jantung anda mengepam dan dalam masa yang sama tidak meletakkan terlalu banyak tekanan pada sendi. Jadi secara tidak langsung anda telah melindungi sendi dan membakar kalori lebih banyak berbanding sukan larian seperti joging. 

Manfaat kepada jantung

Berbasikal boleh meningkatkan kesihatan kardiovaskular jika dilakukan secara berkala. Aktiviti ini dikatakan akan mengurangkan tekanan darah tinggi, mengawal gula dalam darah serta menghalang serangan jantung. Selain itu, berbasikal juga meningkatkan jumlah kolesterol baik sambil menurunkan kolesterol jahat dalam badan anda.

Tidur lebih lena

Jika anda merupakan golongan yang menghadapi masalah sukar tidur, aktiviti berbasikal mungkin boleh menjadi penawar untuk anda. Menurut satu kajian di Stanford University School of Medicine, jika seseorang berbasikal di luar selama 20 hingga 30 minit setiap hari dan terdedah kepada cahaya matahari, hasilnya irama sirkadian akan kembali selari dan tahap kortisol serta hormon stres juga menurun. Masalah kesukaran tidur akan menurun sebanyak separuh dan masa tidur juga akan meningkat sebanyak satu jam. 

Hidup lebih lama

Satu kajian daripada King College London telah dijalankan yang mana membandingkan lebih 2,400 kembar seiras untuk mengenal pasti mana satu yang lebih sihat. Hasil kajian mendapati kembar yang melakukan melakukan aktiviti berbasikal tiga kali seminggu selama 45 minit dalam satu sesi adalah 9 tahun lebih muda dari sudut biologi berbanding kembar yang sama yang tidak berbasikal. Disebabkan mereka kerap bersenam, mereka mempunyai risiko yang jauh lebih rendah kepada penyakit kardiovaskular, diabetes jenis 2, semua jenis kanser, obesiti, serta tekanan darah tinggi.

Luang masa nikmati pemandangan

Selain dapat kelebihan dari segi kesihatan, aktiviti berbasikal ini juga diakui lebih seronok dilakukan bersama rakan-rakan atau keluarga. Selain dapat meluangkan masa bersama, ia juga memberi peluang kepada anda untuk menikmati pemandangan sepanjang laluan trek.

Sudah terbukti bahawa aktiviti berbasikal adalah baik untuk kesihatan mental dan fizikal. Walau bagaimanapun, kepada anda yang ingin melakukan aktiviti ini (atau sedang melakukannya), perlulah sentiasa peka akan keselamatan diri serta mendapatkan nasihat profesional untuk memastikan aktiviti tersebut sesuai untuk anda.

 

 

 

 

 

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement