Semasa & Hiburan
Dilabel ‘Used Car’, Elly Mazlein Okay Je
Elly anggap usikan AC hanya niat untuk bergurau.
Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom meminta peminatnya agar tidak terlampau emosi gara-gara pengacara Datuk AC Mizal melabelkan dirinya sebagai ‘used car’ (kereta terpakai).
Isu itu terjadi ketika mereka mengacarakan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam Ahad lalu.
“Isu ini bukannya besar sangat, tak payah ambil serius wahai penyokong Kak Lina Pom Pom. Kita tenang-tenang sahaja.
“Kak Lina sangat tersentuh hati bukan kerana isu ini (diperli) tetapi disebabkan ramai orang ambil berat. Alhamdulillah, ramai menyayangi Kak Lina,” katanya.
Elly yang bersikap profesional memahami niat AC yang hanya mahu bergurau pada mulanya namun mungkin terlepas cakap.
“Bagi saya, diusik sebagai kereta terpakai sukar diterima tetapi semua manusia tidak sempurna. Saya anggap mungkin Datuk AC terlepas cakap.
“Saya harap selepas ini hargailah dan jagalah martabat serta aib wanita,” katanya lagi.
Terdahulu, di laman Twitter, kebanyakan netizen mengecam lawak jenaka AC Mizal yang disifatkan keterlaluan dan seperti serangan peribadi terhadap wanita ketika ia disiarkan secara langsung di TV3.
Elly tidak lama lagi bakal menamatkan status janda apabila sudah merancang untuk berumah tangga pada tahun depan bersama jejaka berusia 28 tahun.