Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

‘Boleh Fit’ Bantu Tingkatkan Stamina Dan Kesihatan Badan

Aktiviti outdoor untuk kekal fit…

Published

on

Kesihatan fizikal sememangnya sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan seharian yang semakin sibuk dengan pelbagai urusan. Jika kita kurang menitikberatkan kesihatan tubuh badan kita, dikhuatiri kelak stamina kita semakin merundum dan sekaligus memberi kesan kepada urusan kerja seharian kita. Tapi aktiviti yang bagaimana sesuai untuk kita mulakan bagi mencapai tahap stamina dan kesihatan badan yang terbaik? Mungkin dengan mengikuti program-program kesihatan, ia mampu menjadi pendorong buat anda mencapai tahap kesihatan fizikal yang ideal.

Baru-baru ini, Kool FM sempat menemubual salah seorang jurulatih bagi satu program kesihatan, iaitu Gogulan Dorairajoo. Beliau yang berusia 49 tahun, dikatakan telah aktif bersama dengan sebuah program kesihatan yang dikenali sebagai ‘Boleh Fit’ selama 10 tahun. Menurut beliau, program fitness ini sangat sesuai buat mereka yang ingin mencari atau mendapatkan stamina badan yang baik. Tambahan lagi, ia boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang berminat. 

Keseimbangan Hidup Serta Melepaskan Stres

Selepas beriadah atau melakukan aktiviti sukan, tubuh kita akan melepaskan hormon adrenalin yang mana ia akan membuatkan kita berasa ‘lega’ dengan bebanan harian. Perkara ini turut diakui oleh Gogulan di mana beliau sendiri menyasarkan aktiviti bersama Boleh Fit sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan harian. Beliau yang juga merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah Agensi PR (Rantau PR) mengakui senaman harian sedikit sebanyak membantunya dalam mengawal tahap stres selepas penat bekerja pada siang hari.

Menurut beliau lagi, sebelum menyertai program ini, larian merupakan antara aktiviti sukan yang kurang digemari. Tetapi kini ia merupakan acara yang sering disertai beliau sehingga mampu berlari sejauh 100 hingga 200 KM dalam sebulan melalui acara maraton. 

Program Yang Sesuai Dilakukan Secara Outdoor

Menurut Gogulan, beliau merupakan seorang yang aktif sebelum menyertai program ini dan sering melakukan aktiviti sukan seperti bermain bola sepak dan sebagainya. Mula melibatkan diri pada tahun 2010, beliau merasakan program Boleh Fit, atau pernah dikenali sebagai ‘Original Bootcamp’ sesuai buat mereka yang gemar melakukan aktiviti secara outdoor. Program ini juga dikatakan bermula di Australia dan kemudiannya diperkenalkan di Malaysia untuk komuniti setempat. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna mereka yang kurang aktif tidak sesuai untuk menyertai program ini.

Kini, jika anda ingin turut serta dalam program Boleh Fit, ia dilakukan di tiga lokasi iaitu di Dataran Petaling Jaya, Padang Merbok serta Taman KLCC. Semestinya ia sesuai buat anda yang ingin melakukan aktiviti fitness dalam suasana luar.

Senaman Pada Waktu Pagi Lebih Baik

Jika bercakap soal senaman pada waktu pagi, tentu ramai yang akan berfikir ia paling sesuai dilakukan pada hari Sabtu atau Ahad, atau semasa hari cuti umum. Ia merupakan satu kebiasaan kerana memikirkan pada hari cuti, selepas penat bersukan di pagi hari bolehlah pulang ke rumah dan berehat. Tetapi, menurut jurulatih Boleh Fit ini, senaman pada waktu pagi boleh dilakukan walaupun pada hari bekerja. Ia dikatakan mampu memberikan satu perasaan yang lain sebelum kita masuk bekerja, serta mampu membakar kalori dengan lebih cepat.

Beliau mengakui awalnya kita akan rasa penat menjelang waktu tengah hari kerana sudah mengeluarkan tenaga bersenam pada awal pagi itu. Walau bagaimanapun, jika badan sudah biasa dengan amalan bersukan pada waktu awal pagi, lama kelamaan kita tidak akan terasa penatnya walaupun bekerja sampai ke petang. 

Apa yang ditawarkan dalam program ini adalah latihan senaman mengikut kesesuaian stamina semasa masing-masing selama satu jam. Menurut Gogulan, setiap peserta akan diberi latihan mengikut tahap kesesuaian masing-masing. Pada setiap sesi, anda akan dilatih cara untuk kekal fit, kurangkan berat badan serta tambahkan stamina badan. Menariknya, program Boleh Fit turut memberi pilihan waktu sesi seawal jam 5.45 pagi setiap hari Selasa dan Khamis di Dataran Petaling Jaya. Buat anda yang mahukan cabaran, inilah masa yang sesuai untuk cuba aktiviti baharu. 

Tidak Perlu Mengamalkan Diet Melampau

Tidak memaksa peserta untuk mengamalkan diet melampau, itu antara apa yang ditawarkan dalam Boleh Fit. Ini bermakna anda tidak perlu risau untuk terus menjaga pemakanan secara ekstrem. Menurut Gogulan, program Boleh Fit hanya mengfokuskan kepada senaman fizikal untuk membakar kalori yang ada dalam badan serta meningkatkan stamina badan. Walau bagaimanapun, secara tidak langsung juga program ini akan membuatan para peserta menitikberatkan pengambilan makanan yang seimbang. Tip pemakanan yang seimbang juga akan dikongsikan bersama antara ahli peserta lain, terutamanya mereka yang komited untuk dapatkan berat badan ideal. 

Sebuah Komuniti Untuk Anda Kekal Fit

Boleh Fit dilihat lebih kepada sebagai sebuah komuniti di mana segala tip kesihatan atau pemakanan yang sihat akan dikongsi bersama. Ini merupakan antara kelebihan buat mereka yang menyertai program Boleh Fit. Ianya terbuka kepada sesiapa sahaja, dan turut dikatakan sesuai dilakukan dalam keadaan negara yang masih perlu mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) untuk mencegah penularan wabak COVID-19, kerana semua aktiviti dilakukan secara outdoor. Kepada anda yang berminat boleh terus pergi ke laman sesawang Boleh Fit untuk maklumat lanjut. Boleh juga klik link ini.

 

 

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement