Connect with us
Hot Kool Jam

Hiburan

Al-Sultan Abdullah Dedah Lagu Kegemaran Dendangan Allahyarham Datuk Dahlan Zainuddin

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman..

Published

on

‘Kisah Seorang Biduan’ yang pernah didendangkan Allahyarham Datuk Dahlan Zainuddin merupakan lagu yang menjadi kegemaran Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah lagu tersebut menceritakan penghijrahan anak muda zaman dahulu dari desa ke bandar.

“Saya harap ramai lagi yang dapat mencontohi beliau untuk menaikkan nama artis tempatan dan lagu-lagu yang boleh diketengahkan. Bagi saya ia satu kehilangan besar,” titah baginda ketika berangkat menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar, hari ini.

Baginda turut menunaikan solat jenazah yang diimamkan Ketua Imam masjid berkenaan, Mohd Faizul Mohd Razali.

Allahyarham Dahlan meninggal dunia pada 9.48 malam tadi di Hospital Selayang.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Effa Rizan dan tiga anak.

Dahlan, dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri akibat serangan strok, Sabtu lepas, yang merupakan serangan strok kedua selepas yang pertama pada 2016 mengakibatkan Allahyarham lumpuh sebelah kiri.

Sementara itu, Sultan Abdullah menzahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga Allahyarham Dahlan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, dengan suara Allahyarham yang merdu dan lagu-lagu yang sukar dilupakan, lagu ikonik ‘Kisah Seorang Biduan’ menjadi kegemaran Sultan Abdullah.

“Datuk Dahlan Zainuddin mempunyai kebolehan tersendiri untuk menghiburkan dan menawan penontonnya. Beliau dianugerahkan dengan bakat yang sangat besar dan kita hormati dan hargai beliau yang membantu membentuk industri muzik pada masa itu dan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda.

Takziah kepada keluarga Datuk Dahlan Zainuddin. Bersama-sama lah kita berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Saya harap keluarganya kuat dan bersabar dalam menghadapi dugaan ini, ” kata kenyataan itu.

 

Sumber dari: Bernama

Advertisement

Instagram

Something is wrong.
Instagram token error.
Advertisement

Facebook

Advertisement
Advertisement