Connect with us
Kool FM

Berita

6 Negeri Ini Benarkan Solat Jumaat Di Masjid

Jom ke masjid…

Published

on

Sejak negara dilanda wabak pandemik Covid-19, sudah pasti ramai yang rindu nak ke masjid dan surau untuk beribadah.

Melihat situasi penularan wabak yang semakin pulih ketika ini, beberapa negeri telah membuat keputusan untuk membenarkan orang awam menggunakan masjid.

1. Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Masjid Diraja serta Masjid Daerah, mulai hari ini (15 Mei 2020).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata bagaimanapun hanya Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan imam dibenarkan bagi tujuan itu, membabitkan tiga hingga 12 orang maksimum.

2. Negeri Sembilan

Solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di Negeri Sembilan hanya dibenarkan di masjid dan surau terpilih dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein, berkata perkara itu sudah mendapat perkenan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dengan persetujuan Datuk Undang Yang Empat.

“Setakat ini masjid yang dibenarkan ialah Masjid Negeri di Seremban dan masjid daerah iaitu satu masjid di setiap daerah selain Masjid Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah.

“Pelaksanaannya juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

3. Melaka

Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka hanya membenarkan solat Jumaat didirikan di masjid bermula 29 Mei ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kebenaran itu tertakluk kepada kepatuhan syarat ditetapkan iaitu hanya 40 jemaah termasuk khatib, imam, bilal serta pegawai masjid yang dibenarkan menunaikan solat itu pada satu-satu masa.

Beliau berkata, keputusan turut terpakai bagi pelaksanaan solat sunat Aidilfitri itu dibuat selepas mengambil kira keadaan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

4. Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid dan surau, bermula 15 Mei 2020 selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata, baginda turut memberi perkenan untuk solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau pada pagi 1 Syawal.

Bagaimanapun, kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

5. Wilayah Persekutuan

Semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri, bermula 15 Mei 2020, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata solat lain secara berjemaah boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei, berdasarkan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada tiga orang, tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.

6. Johor

Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) membenarkan hanya 12 orang menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau yang diberi kebenaran melaksanakannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata 12 orang terbabit ialah imam satu, imam dua, bilal, noja dengan lapan ahli jawatankuasa.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka tetap perlu mematuhi garis panduan disediakan JAINJ dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi menghidupkan syiar Ramadan, institusi berkenaan dibenarkan untuk menggunakan alat pembesar suara bagi bacaan ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan Maghrib, selain bacaan al-Quran serta tarhim 15 minit sebelum subuh.

Sumber daripada: Harian Metro, Berita Harian

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement