Connect with us
On Air Di Kool

Berita

Ustaz Ehsan Imam Besar Masjid Negara

Published

on


SEAWAL pukul 8 pagi, kanak-kanak berusia lapan tahun itu sudah bersiap sedia di sisi motosikal bapanya untuk mengikuti pengajian di Masjid Negara yang jaraknya 10 kilometer dari rumah di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Kanak-kanak itu akur dengan arahan bapanya untuk turut serta mengikuti pengajian tasawuf dan aqidah di masjid tersebut.

Walaupun pada usia yang masih mentah, bapanya sedar akan kepentingan mendidik anak-anak pada usia muda. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Siapa sangka corak didikan bapanya itu telah menjadikan Ustaz Ehsan Mohd. Hosni, 48, seorang tokoh agamawan yang pakar dalam bidang al-Quran.

Pengalaman dan kepakarannya itu telah melayakkan beliau dilantik sebagai sebagai Imam Besar Masjid Negara pada April lalu.
Masjid Negara ialah masjid utama di Malaysia yang dibina pada tahun 1963 dengan kapasiti seramai 15,000 jemaah.

Ia menjadi lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan merupakan simbol islamik negara ini yang baru dibentuk pada ketika itu.

Bapa kepada enam cahaya mata itu bukan calang-calang orangnya kerana berpengalaman sebagai imam di beberapa masjid lebih satu dekad.

Memulakan perkhidmatan dengan menjawat jawatan Imam di Masjid Negara pada 2008, beliau kemudian menjadi Imam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum diangkat menjadi Imam Besar di Masjid Wilayah dan terkini di Masjid Negara.

Menakjubkan apabila Masjid Negara yang menjadi tempat ‘permainannya’ semasa kecil kini merupakan tempat beliau menabur bakti sebagai Imam Besar.

“Arwah ayah, Mohd. Hosni Alias ialah seorang guru yang sangat mementingkan ilmu kepada anak-anak terutamanya berkaitan agama.

“Oleh itu, beliau sangat tegas. Memandangkan saya anak lelaki sulung maka, sejak usia remaja telah dididik untuk menjadi imam solat,” katanya ketika ditemui K2 di Pejabat Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Ehsan, hasil didikan tanpa jemu arwah ayahnya dan ibu, Miskinah Adnan, 75, turut melahirkan seorang lagi Imam iaitu adiknya, Ustaz Lokman Mohd. Hosni yang pernah berkhidmat selama 18 tahun di Masjid Putra, Putrajaya.

Tanggungjawab

Ehsan mendapat Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Sungai Tua Baharu, Selangor kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Agama Menengah Rawang diikuti Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian Diploma Tahfiz al-Quran di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Maahad Qiraat di Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Setelah pulang dari Mesir, saya telah bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam yang menggalas tanggungjawab sebagai Pensyarah al-Quran selama sembilan tahun di Darul Quran Jakim.

“Menjadi pendidik merupakan cita-cita saya sejak kecil kerana ingin mengikuti jejak langkah arwah ayah,” cerita anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Mengulas mengenai perlantikan dirinya sebagai Imam Besar Masjid Negara, Ehsan memberitahu, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memegang jawatan sebesar itu di sebuah masjid berprestij.

EHSAN (kanan) meluangkan masa bertanya khabar dengan salah seorang petugas di bahagian dalam Masjid Negara.

Kewibawaan dan kemahirannya dalam bacaan al-Quran telah menarik perhatian pihak pengurusan atasan untuk melantik beliau sebagai Imam.

“Terdahulu bagi mempersiapkan diri bergelar imam masjid pada 2008, saya telah dihantar untuk menghadiri kursus di Institut Latihan Pendakwah Raja Abdullah II di Amman, Jordan.

“Tidak hanya di di situ, saya turut menghadiri kursus Hakim Tilawah di Mekah kemudian ke Darul Ifta’ Kaherah, Mesir bagi menimba ilmu berkaitan dakwah dan kepimpinan,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai peranan sebagai Imam Besar Masjid Negara, Ehsan berkata, beliau bertanggungjawab untuk mengetuai majlis rasmi kebesaran Islam serta mengepalai urusan pentadbiran masjid termasuk pentadbiran am, kewangan dan pengimarahan.

Beliau juga merupakan insan bertanggungjawab untuk menjadi imam kepada Yang di-Pertuan Agong ketika berlangsungnya majlis kebesaran Islam.

Namun, pada masa sama turut bergilir-gilir dengan lapan orang Imam di Masjid Negara untuk mengimamkan solat harian.

“Antara pengalaman manis yang tidak dapat saya lupakan ialah menjadi imam kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Komunikasi

Menurut Ehsan, untuk menjadi seorang imam secara umumnya, seseorang itu hendaklah menguasai al-Quran dengan baik, mengetahui hukum-hukum asas fiqh solat, fiqh taharah dan yang paling penting solatnya hendaklah sempurna.

Beliau turut menjelaskan bahawa imam perlu menyempurnakan solat kerana ia berperanan mempersembahkan solat terbaik kepada Allah SWT.

“Ibadah yang sempurna akan memberi cerminan kepada makmumnya.

“Sehubungan itu, seseorang imam itu hendaklah berilmu dan berpengalaman,” terangnya yang suka bercucuk tanam pada masa lapang.

Ehsan turut mengingatkan bahawa jangan sesekali ada perasaan riak atau takabbur dalam diri seorang imam.

Ulasnya lagi, imam juga perlu mempunyai ilmu interpersonal dan komunikasi agar pandai berinteraksi supaya orang ramai berasa selesa datang ke masjid dan diri mudah mendekati masyarakat.

Beliau sentiasa berpegang teguh kepada pesanan arwah bapanya iaitu bekerja kerana Allah dan bukan semata-mata untuk mengejar gaji besar atau pangkat kerana semua itu akan datang dengan sendirinya apabila disulami niat yang betul.

Sementara itu, disiplin masa yang telah diasuh sejak kecil membuatkan lelaki berketinggian 164 sentimeter itu sangat menghargai setiap detik waktu.

The post Ustaz Ehsan Imam Besar Masjid Negara appeared first on Kosmo Digital.

Klik untuk baca artikel penuh.

Sumber:

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement