Connect with us
On Air Di Kool

Berita

Tuah corak unik, terlepas dua kali

Published

on


KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri dari Kampung Bukit Bayas di sini nyaris kerugian hampir RM5,000 apabila seekor lembu korban yang dibeli dua minggu lalu ‘lari’ dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.

Namun, nasib menyebelahi Wan Mohd. Shukri Wan Musa, 33, dan isterinya, Nur Liyana Manan, 26, kerana lembu jantan yang memiliki corak unik itu akhirnya berjaya ditemui.

Wan Mohd. Shukri berkata, lembu yang disifatkan ‘hodoh’ kerana mempunyai tiga warna iaitu hitam, putih dan coklat serta bertompok-tompok itu dibeli 14 Julai lalu daripada penternak di Kubang Parit di sini.

Katanya, kejadian pertama berlaku pada hari sama haiwan tersebut dibeli apabila lembu yang diberi nama Leopard itu keluar dari kandang sementara yang dibina di rumah­nya dan kemudian lesap selama empat jam di kawasan hutan berdekatan sebelum ditemui semula kira-kira pukul 10 malam.

“Selepas sejam ditambat, kira-kira pukul 12 tengah malam saya dapati ia hilang lagi. Selain mengupah orang untuk mencari, isteri juga ada membuat hantaran dalam Facebook komuniti Terengganu tentang kehilangan lembu korban kami dan dengan bantuan warganet, Leopard berjaya ditemui tiga hari kemudian di Alur Limbat.

“Dua hari selepas ditemui, Leopard terlepas sekali lagi apa­bi­la lari ketika diberi makan tetapi tiga hari kemudian kami da­pat maklumat, ia ada di Bukit Pa­yung dan segera ke sana untuk­ membawanya pulang,” ka­tanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Menurut Wan Mohd. Shukri, mereka sekeluarga sememang­nya sudah reda jika ditakdirkan haiwan itu gagal ditemui, malah bersedia membeli lembu baharu bagi menyempurnakan niat melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha ini.

Katanya, ini merupakan kali pertama dia berdepan dengan situasi lembu lari, sekali gus bimbang dengan kemungkinan yang bakal dihadapi ketika hari penyembelihan nanti.

“Leopard jinak, saya memang tidak sangka dapat jumpa balik, tambahan pula di musim korban ini kita tahu kebanyakan haiwan hilang tentunya gagal ditemui.

“Alhamdulillah dengan co­raknya yang unik, lembu ini mudah dikenali dan terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang banyak membantu me­nyalurkan maklumat,” katanya.

Sementara itu, Nur Liyana berkata, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang mereka terpaksa mempertingkatkan perlindungan dengan memasang pagar besi pada kandang sementara yang dibina. – UTUSAN

The post Tuah corak unik, terlepas dua kali appeared first on Utusan Malaysia.

Klik untuk baca artikel penuh.

Sumber:

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement