Gaya Hidup
Tahniah! Dr Noor Hisham Kini Bergelar Tan Sri, Ini 4 Personaliti Beliau Yang Boleh Diikuti
Semoga perkara yang baik boleh diambil dan dijadikan contoh..
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham merupakan antara individu yang dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ pada 17 Ogos 2020.
Gelaran tersebut dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (hari pertama) yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.
Dalam reaksi beliau kepada sebuah akhbar tempatan, Dr Noor Hisham berkata, penghargaan itu bukan hanya untuk diri beliau semata-mata, namun ia merupakan penghargaan kerajaan kepada semua petugas barisan hadapan terutama dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Walaupun kini berdepan dengan pelbagai isu kesihatan, Dr. Noor Hisham masih lagi tabah dan tenang dalam memberikan maklumat serta saranan terkini berkenaan pandemik COVID-19.
Dapat kita lihat menerusi ucapannya yang ringkas itu sahaja menunjukkan beliau adalah seorang yang gemar bersikap:-
1. Rendah Diri & Bersahaja
Terdahulu, Dr. Noor Hisham pernah diiktiraf sebagai tiga doktor terulung di peringkat global dalam memerangi COVID-19. Bagaimanapun, beliau menjelaskan ia bukanlah penghargaan kepada individu, sebaliknya untuk Malaysia dan keseluruhan jentera kerajaan.
2. Menghargai Pemberian
Dalam kesibukan beliau dalam memerangi krisis yang dihadapi oleh negara ketika ini, Dr. Noor Hisham telah menerima kejutan manis apabila menerima surat dan hadiah bermakna daripada seorang peminat cilik yang ingin menjadi kenalannya. Dr. Noor Hisham jelas tidak menghampakan harapan kanak-kanak itu apabila membalas surat terbabit yang akhirnya tular dan menjadi perbualan orang ramai sehingga kini.
3. Tepati Masa
Demi memberikan informasi yang terbaik buat rakyat dan mahu terus berkhidmat buat negara, Kementerian Kesihatan Malaysia ketika ini berusaha untuk menyalurkan maklumat berkenaan wabak COVID-19 setiap hari menerusi saluran televisyen. Maklumat tersebut disampaikan secara terus oleh Dr. Noor Hisham setiap hari tepat pada masa yang dijanjikan.
4. Bersikap Professional
Ketenangan, kematangan dan sikap profesional Dr. Noor Hisham dalam melaksanakan tanggungjawabnya cukup terserlah. Walaupun keletihan mengendalikan krisis yang dihadapi, wajah dan penampilannya sentiasa tenang dalam memberikan jawapan menerusi soalan yang diajukan oleh pengamal media.
Semoga perkhidmatan awam negara ini dapat melahirkan lebih ramai lagi ikon hebat seperti Dr. Noor Hisham.