Connect with us
Kool FM

Berita

Sekumpulan Nenek ‘Berperang’ Dengan Monyet Liar Di Jepun

Bahaya sebenarnya ancaman monyet liar ni…

Published

on

Di sebuah wilayah Chubu di Jepun, terletak satu kawasan perkampungan yang kurang penduduknya, dikenali sebagai Fukui. Ia terletak di sebelah perairan pantai laut Jepun, dan pernah menjadi tempat kediaman kumpulan samurai Matsudaira yang kuat. Kini, ia lebih terkenal sebagai kawasan penemuan fosil dinosaurus, tempat pembuatan kertas, dan sebagai kawasan istimewa untuk makanan laut, soba dan beras koshihikari. Selain itu, Fukui juga kini terkenal kerana adanya sekumpulan nenek yang ‘berperang’ dengan monyet-monyet liar di sekitar itu dan menggelar diri mereka ‘Monkey Buster.’

Mungkin ada di antara anda yang hairan bagaimana sekumpulan wanita warga emas ini boleh ‘berperang’ dengan monyet liar. Masako Ishimura (74), Tatsuko Kinoshita (68), dan Miyuki Ii (67) merupakan pengawal sukarela yang bertugas melindungi kampung mereka daripada ancaman monyet liar. Ketiga-tiga mereka tinggal di Bandar Hikariishi, di daerah Miyama yang berdekatan dengan Koperasi Pertanian Jepun. Dikatakan mereka membentuk kumpulan ‘Monkey Buster’ pada bulan Mei lalu setelah menghadiri kursus membanteras ancaman monyet yang dianjurkan kerajaan.

Menurut laporan, monyet liar biasanya muncul di ladang di sekitar Miyama pada bulan Mac lalu dan sering terlihat di tebing kanan Sungai Asuwa. Monyet-monyet itu telah merosakkan tanaman bawang, terung, kacang soya dan kentang di daerah itu sejak tahun 2015 lagi. Walaupun telah dipasang orang-orang di ladang itu serta jaring anti-haiwan, ia tetap tidak berkesan melindungi tanaman yang berharga itu. Solusinya, ketiga-tiga wanita tersebut memutuskan untuk ‘berperang’ dengan monyet-monyet liar itu dengan senapang udara sebagai satu cara menakutkan haiwan liar itu. 

Kebiasaannya, kumpulan ‘Monkey Buster’ ini menerima laporan tentang ancaman monyet liar pada waktu siang semasa mereka sedang melakukan rutin harian seperti memasak dan mengemas rumah. Sejurus sahaja mereka mendapat laporan, tanpa membuang masa mereka bersiap sedia meninggalkan tugas di rumah dengan membawa senapang ke lokasi di samping memakai baju petani dan mengenakan topi. Sering kali juga mereka tiba ke lokasi dengan memakai apron kerana sebelumnya mereka sedang memasak. Semua ini demi mempertahankan kampung daripada serangan monyet liar.

Cara kumpulan ini ‘berperang’ dengan monyet-monyet liar adalah lebih kepada untuk menakut-nakutkan dengan bunyi kuat tembakan senapang. Tembakan amaran akan dilepaskan ke arah monyet-monyet ini dan sering mendapat bantuan dari penduduk setempat yang menggunakan mercun untuk menakutkan lagi monyet-monyet liar ini. Ada masa, beberapa penduduk tempatan mengejar monyet-monyet ini dengan cangkul sebagai amaran.

Kesungguhan ‘Monkey Buster’ untuk melindungi tanaman serta keselamatan di kawasan kampung itu daripada ancaman monyet liar mendapat banyak pujian daripada masyarakat. Semoga ia kekal menjadi satu usaha murni untuk menjaga keharmonian kawasan setempat.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement