Berita
Sekelip Mata Hidup Berubah, Pavithra Memilih Suami Dari Meneruskan Rancangan Masakan
Pengorbanan seorang isteri…
Sedih juga bila mengenangkan apa yang terjadi kepada pasangan ini. Sekelip mata, hidup pasangan Youtuber popular, Sugu Pavithra berubah dek kerana konflik dan isu dera yang membabitkan suami Pavithra iaitu M Sugu sehingga beliau direman kerana tindakannya itu.
Sejurus selepas dilepaskan dari tahanan reman, beliau membuat keputusan untuk tidak meneruskan video masakannya atau pun mempunyai kaitan dengan laman media sosial Youtube.
Timbul tanda tanya netizen apabila tiada lagi video di akaun YouTube milik Youtuber terkenal ‘Sugu Pavithra’ di dalam kalangan pengikutnya. Malah akaun yang mengumpul 785,000 pengikut itu juga didapati telah memadam semua video lama mereka. Suaminya, M Sugu, telah menurunkan kesemua video yang pernah dimuat naik di saluran Youtube bersama isterinya, S Pavithra, kerana mereka tidak mahu lagi terbabit dengan apa sahaja yang boleh meraih perhatian umum.
“Kami tidak mahu lagi ada kena-mengena dengan Youtube,” kata Sugu.
Menurutnya, mereka kini hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan hanya ingin menjalani kehidupan seperti orang biasa.
“Ramai lagi Youtuber masakan yang lagi hebat dan bagus, kami hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga,”
Menambah lagi, katanya buat masa ini mereka berdua masih belum memikirkan perancangan seterusnya tentang apa yang mahu dilakukan.
Sepanjang tempoh mengendalikan saluran itu, pasangan Sugu dan Pavitra berkongsi 98 video hingga meraih lebih 34 juta tontonan. Pasangan itu dianggap Youtuber sensasi di negara ini, apabila dalam tempoh yang singkat mereka menarik sehingga lebih 700,000 pengikut dari dalam dan luar negara, tapi sayangnya mereka telah memilih untuk tidak meneruskan lagi rancangan mereka itu.
Semoga pasangan ini terus diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan dan cabaran yang dihadapi.