Semasa & Hiburan
Saharul Ridzwan Teruja
All the best, Saharul!
Sering diberi watak sebagai hero romantik dalam drama, pelakon Saharul Ridzwan kini mendapat peluang untuk membintangi naskhah aksi pula.
Untuk pengetahuan, Saharul terpilih selaku pelakon utama bagi naskhah Coast Guard yang bakal menembusi pawagam pada tahun depan.
Hampir 10 tahun bergelar anak seni, ini merupakan peluang terbaik untuk dirinya keluar dari zon selesa.
“Ini merupakan filem aksi pertama dan juga naskhah layar lebar sulung saya selepas sekian lama bergelar pelakon. Syukur alhamdulillah, saya sangat teruja dengan tawaran ini.
“Akhirnya saya dapat keluar daripada kepompong selesa. Selama ini orang melabelkan saya sebagai hero romantik sebab terlalu kerap melakonkan naskhah bersadur cinta.
“Naskhah Coast Guard telah memberi peluang untuk saya tampilkan sisi berbeza yang belum pernah penonton lihat sebelum ini,” ujarnya.
Coast Guard bakal menjalani penggambaran bermula awal Ogos depan dan dibintangi barisan pelakon popular seperti Emma Maembong, Julia Farhana, Fauzi Nawawi, Aziz M. Osman, Sabri Yunus, Wanna Ali dan Hazama.