Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Risau Bil Elektrik Naik Mendadak? Ini Cara Berkesan Kurangkan Bayaran Bil

Tak perlu khuatir, mari kita cuba cara ini

Published

on

Isu kenaikan bil elektrik lebih mahal berbanding bulan-bulan sebelumnya menjadi punca kebanyakan ramai orang meluahkan rasa marah dan tidak puas hati di media sosial. Lagi-lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), apabila masing-masing menerima bil elektrik yang sudah diisukan. Daripada jumlah kebiasaan, tiba-tiba meningkat mendadak. Fuh siapa je yang tak terkejut kan.

Tak perlu khuatir, mari kita cuba cara yang disarankan oleh Tenaga Nasional Berhad untuk menjimatkan penggunaan elektrik di rumah anda.

Close up of woman's finger is turning on or off on light switch ...

 

Cara #1 – Guna peralatan elektrik dengan penggunaan tenaga yang cekap

Jika anda biasa pergi ke kedai yang menjual peralatan elektrik, pasti akan terlihat label cekap tenaga (energy efficiency label) yang ditampal pada sesetengah peralatan elektrik yang dipamerkan. Label cekap tenaga tersebut adalah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga, dan merupakan label yang menunjukkan tahap kecekapan penggunaan tenaga elektrik bagi peralatan tersebut. Label ini wajib ditampal pada televisyen, kipas rumah, peti sejuk dan pendingin hawa. Tahap kecekapan tenaga peralatan tersebut diberikan star-rating tertentu. Semakin banyak bintang, semakin cekap penggunaan tenaga dan semakin jimat penggunaan tenaga elektrik.

Jadi, apabila hendak membeli peralatan elektrik, utamakan model yang mempunyai star-rating yang tinggi, iaitu 4 atau 5, supaya anda akan mendapat penjimatan elektrik kelak.

Cara #2 – Gunakan peralatan elektrik dengan spesifikasi yang sesuai

Secara umumnya, semakin tinggi spesifikasi sesuatu peralatan elektrik (bagi jenis yang sama), semakin tinggi kadar penggunaan tenaganya. Sebagai contoh, televisyen bersaiz 48 inci sudah semestinya menggunakan tenaga elektrik yang lebih berbanding televisyen 32 inci. Begitu juga dengan pendingin hawa, yang berkapasiti 2.0 hp mesti akan menggunakan lebih tenaga elektrik berbanding yang berkapasiti 1.0 hp. Untuk pastikan tidak berlaku pembaziran elektrik secara berlebihan, pastikan peralatan elektrik yang digunakan adalah sesuai dari segi spesifikasi saiz, kapasiti, kuasa dan penggunaan tenaganya. Misalnya, gunakan pendingin hawa dengan kuasa yang optimum dengan saiz ruang. Atau pun, gunakan peti sejuk yang sesuai bergantung kepada berapa banyak bahan mentah yang disimpan (biasanya bergantung kepada bilangan anggota isi rumah).

Ingat, peralatan dengan spesifikasi terlalu tinggi akan menyebabkan pembaziran elektrik, manakala spesifikasi terlalu rendah akan menyebabkan beban dan penggunaan elektrik yang tinggi. Maka, carilah yang paling optimum dan sesuai dengan keperluan dan kediaman anda.

Cara #3 – Gunakan peralatan elektrik dengan betul

Untuk memastikan kurangnya pembaziran tenaga elektrik, peralatan elektrik perlulah digunakan dengan cara yang betul sepertimana spesifikasinya. Sebagai contoh, mesin basuh yang mempunyai kapasiti 10kg, maka pastikanlah berat pakaian yang hendak dibasuh tidak melebihi berat tersebut. Pendingin hawa, jika ditetapkan pada suhu terlalu rendah, akan menyebabkan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi. Walhal, jika tetapkan pada suhu 25-27 °C pun sudah memadai. Peti sejuk, jika terlalu kerap dibuka dan ditutup, juga akan menyebabkan pembaziran tenaga. Begitu juga jika peti sejuk tersebut disumbat dengan terlalu banyak barang sehingga hampir penuh, turut akan menyebabkan peningkatan penggunaan tenaga.

Kuncinya, cara jimat elektrik yang efektif adalah dengan menggunakan peralatan elektrik dengan betul.

Cara #4 – Hadkan penggunaan peralatan elektrik

Antara cara jimat elektrik yang mudah adalah menghadkan penggunaan peralatan elektrik. Di sini, perlunya anda membuat kawalan dan menetapkan peraturan berkenaan tempoh penggunaan peralatan elektrik di kediaman anda. Hadkan masa tontonan televisyen, lebih baik untuk buat aktiviti yang lebih bermanfaat seperti membaca buku dan beriadah. Hadkan juga masa penggunaan pendingin hawa, cukup untuk sekadar hilangkan rasa panas sahaja. Simpan air panas dalam termos, supaya air tidak perlu dipanaskan berulang-ulang kali menggunakan cerek elektrik.  Gunakan cahaya matahari semulajadi untuk menerangi rumah pada waktu siang berbanding menggunakan cahaya lampu.

Semua ini adalah contoh cara-cara untuk menghadkan penggunaan elektrik.

Cara #5 – Tutup suis dan cabut soket

-Tutup suis televisyen apabila tidak ditonton lagi.

-Tutup suis komputer apabila siap kerja.

-Tutup suis lampu apabila keluar dari bilik atau tandas.

-Tutup suis periuk nasi apabila selesai masak nasi.

Pendek cerita, untuk elakkan pembaziran tenaga elektrik, tutup suis apabila peralatan elektrik tidak digunakan. Lepas tutup suis, cabut soket daripada plug sebab ada yang mendakwa kalau soket masih terpasang, tenaga elektrik masih mengalir dan tetap dibazirkan.

Itulah sahaja beberapa cara jimat elektrik secara umum. Apabila dah dapat jimatkan penggunaan elektrik, jumlah bil elektrik bulanan juga akan berkurang. Maka, akan berkuranglah perbelanjaan bulanan. Selamat mencuba!

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement