Connect with us
Kool FM

Berita

Rina mula bayar ansuran hutang

Published

on


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun telah mula membuat pembayaran ansuran kepada sebuah syarikat produksi berpusat di Perancis dalam usaha menyelesaikan prosiding saman penghutang penghakiman dihadapinya.

Peguam Hussin Mohd. Razak yang mewakili menteri terbabit berkata, anak guam­nya te­lah menyerahkan beberapa keping cek bagi tujuan tersebut.

“Pihak kami akan berbincang dengan pihak produksi, Sarl Novovision berhubung jumlah penyelesaian yang boleh dicapai. Mahkamah juga telah menetapkan 22 Oktober ini untuk pihak-pihak berkenaan memaklumkan status perbincangan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, anak guam­nya juga telah diarahkan oleh mahkamah untuk hadir pada tarikh ditetapkan.

Hussin berkata demikian ketika ditemui selepas prosi­ding penghutang penghakiman di hadapan Timbalan Pendaftar, Farah Shuhada Ramli di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Saman penghutang penghakiman adalah saman dikeluarkan mahkamah terhadap penghutang bagi mengarahkan individu terbabit hadir ke mahkamah dan memberikan segala maklumat mengenai aset dimiliki serta jumlah yang mampu dibayar bagi menyelesaikan hutang penghakiman.

Akhbar sebelum ini mela­porkan, Rina dan seorang lagi pengarah syarikat, Ida Rahayu Md. Noor gagal menjelaskan jumlah yang telah dipersetujui dalam perjanjian penyelesai­an antara tiga syarikat mereka dengan Sarl Novovision walaupun bersetuju akan memikul segala tanggungjawab dan liabiliti syarikat.

Sementara itu, peguam Mark Ho yang mewakili Sarl Novovision memaklumkan, Rina telah mengemukakan cadangan terma penyelesaian baharu.

Beliau bagaimanapun ti­dak mengulas lanjut mengenai terma tersebut ke­rana kes masih berjalan di mahkamah, namun mengesahkan ada me­nerima beberapa ke­ping cek bayaran.

Rina melalui tiga syarikat yang kini telah digulung iaitu Eurofine (M) Sdn. Bhd., Fine Mobile Network Sdn. Bhd. dan Fine TV Network Sdn. Bhd. telah membeli beberapa rancangan komedi dan dokumetari bernilai jutaan ringgit dengan syarikat produksi Pe­rancis itu antara 2011 dan 2013.

Ketiga-tiga syarikat itu telah ditutup antara Disember 2013 dan Ogos 2015.

Sekitar Mei 2014, Rina dan Ida Rahayu telah memasuki perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision antaranya menyatakan kesanggupan memikul segala tanggungjawab dan liabiliti syarikat.

Pada April tahun lalu, satu penghakiman persetujuan telah ditandatangani antara kedua-dua pihak selepas menteri terbabit gagal menyelesaikan jumlah ditetapkan. – UTUSAN

The post Rina mula bayar ansuran hutang appeared first on Utusan Digital.

Klik untuk baca artikel penuh.

Sumber:

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement