Ia merupakan detik yang sangat bermakna buat TFC I apabila mara ke final buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, menumbangkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir.
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa itu diberi bertujuan memudahkan urusan perjalanan pergi dan pulang penyokong tegar TFC I, selain menyuntik semangat pemain untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan menentang Perak.
“Menang atau kalah TFC I pada aksi final tersebut, cuti peristiwa diisytihar untuk seluruh Terengganu pada Ahad ini.
“Saya harap ia bukan sahaja memudahkan urusan penyokong malah diharap mampu menaikkan semangat pemain TFC I beraksi cemerlang sekali gus membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu,” katanya.
Dianggarkan seramai 30,000 penyokong TFC I bakal membanjiri Stadium Shah Alam, Selangor, bagi menyaksikan aksi final menentang Perak Sabtu ini.