Home > Dramatik Kool > Limau Nipis Limau Purut

Limau Nipis Limau Purut

Tuan Puteri Gunung Intan merupakan puteri tunggal kerajaan Gunung Intan. Walaupun bergelar seorang puteri raja tetapi Tuan Puteri sukakan aktiviti lasak seperti masuk ke hutan dan berburu. Walaupun hidup Tuan Puteri dilimpahi kesenangan dan kasih sayang, namun Tuan Puteri berasa kesunyian kerana masih tidak mempunyai teman hidup. Pada suatu hari, sewaktu Tuan Puteri berburu di dalam hutan bersama Inang Pengasuh, mereka terdengar suara lelaki sedang menyanyi. Pemilik suara tersebut rupanya seorang jejaka tampan.

Namun Tuan Puteri tidak sempat menyapa jejaka tersebut yang lari lintang-pukang, kerana difikirnya ada binatang buas yang sedang mengintai di dalam semak. Akibat kelam-kabut, jejaka tampan tersebut tercicir sebelah capalnya. Tuan Puteri mengambil capal tersebut dan membawa capal itu ke istana. Sejak daripada insiden tersebut, Tuan Puteri asyik teringatkan jejaka tampan yang ditemuinya di hutan.

Akibat tak tahan menanggung rindu pada jejaka tersebut, Tuan Puteri dan Inang Pengasuh, membawa capal kepunyaan si jejaka pada Pawang Diraja. Mengikut tilikan pawang diraja, capal tersebut adalah milik sang rupawan yang tinggal di sebuah kampung di pinggir hutan. Tuan Puteri sangat gembira mendengar tilikan tersebut dan berhasrat untuk mencari siapakah gerangan pemilik capal yang telah berjaya menawan hati baginda. Sementara itu di sebuah kampung, tinggal seorang jejaka tampan bernama Limau Nipis. Limau Nipis tinggal bersama abang tirinya Limau Purut dan ayah tirinya Pak Wan.

Sejak kecil lagi, Limau Nipis yang yatim piatu sering dibuli oleh abang dan ayah tirinya. Limau Nipis juga sering menjadi bahan cacian dan ejekkan abang dan ayah tirinya. Disebabkan itu Limau Nipis sering duduk termenung di tepi sungai sambil menyanyi menghiburkan hati yang lara. Pada suatu hari rumah Pak Wan telah dikunjungi oleh Tuan Puteri dan pengiringnya. Tuan Puteri ingin mencari sang jejaka yang dilihatnya menyanyi di sungai tempoh hari. Tanpa segan silu, Pak Wan mengatakan bahawa anaknya Limau Purutlah jejaka yang dicari oleh Tuan Puteri. Limau Purut pun menyanyi dengan suara yang merdu di hadapan Tuan Puteri.

Malangnya menurut Tuan Puteri dan Inang Pengasuh, jejaka yang mereka temui di sungai tempoh hari berwajah tampan dan bersuara sumbang. Tiba-tiba Limau Nipis pun muncul, lalu menyanyi dengan suara yang sumbang dan off key. Tuan Puteri sangat gembira kerana berjaya menemui jejaka yang dicarinya selama ini. Dengan tersipu-sipu, Tuan Puteri menyerahkan capal kepunyaan sang rupawan itu pada Limau Nipis. Namun Pak Wan tiba-tiba merampas capal tersebut dan mengaku bahawa capal itu adalah kepunyaannya. Tuan Puteri murka dan mahu menghukum Pak Wan kerana masih mahu menipu di hadapannya. Pak Wan menjelaskan bahawa capal tersebut adalah kepunyaannya dan telah dihilangkan oleh Limau Nipis.

Tuan Puteri tidak percaya kerana menurut tilikan Pawang Diraja, capal tersebut adalah kepunyaan sang rupawan. Pak Wan menjelaskan bahawa nama penuhnya ialah Rupawan bin Tempawan, dan capal itu adalah kepunyaannya. Semua yang ada di situ terperanjat dengan penjelasan Pak Wan. Tuan Puteri jatuh pengsan di pangkuan Limau Nipis.

 

Watak & Perwatakan

 

Pak Wan (Ebby Yus)

Seorang bapak tiri yang kejam. Suka membuli, menghina dan mentertawakan anak tirinya. Seorang yang pilih kasih dan tidak melayan anak-anaknya dengan adil. Seorang yang bongkak, suka cakap besar dan suka menipu. Tamak dan berangan ingin menjodohkan anaknya dengan puteri raja.

 

Limau Nipis (Muaz Kool FM)

Seorang pemuda kampung yang selalu dibuli oleh abang dan ayah tirinya. Seorang yang pendiam dan suka memendam perasaan. Tidak pandai melawan dan patuh pada arahan abang dan ayah tirinya. Suka duduk sorang-sorang di tepi sungai sambil menyanyi. Mempunyai wajah yang tampan.

 

Limau Purut (AG Kool FM)

Abang tiri kepada Limau Nipis. Selalu membuli dan mengejek Limau Nipis. Malas bekerja dan berangan-angan untuk berkahwin dengan puteri raja. Selalu menjadi batu api.

 

Puteri Gunung Intan (Haiza)

Tuan Puteri kerajaan Gunung Intan. Seorang yang sukakan aktiviti lasak dan gemar berburu di hutan. Selalu berasa kesunyian kerana belum bertemu dengan pasangan hidup. Bercita-cita untuk mendapat suami yang rupawan.

Kongsi laman ini di:

Leave a Reply