Pengumuman itu berlansung dalam satu sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalan Menteri Steven Sim dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Menurut Chong Wei, ia adalah satu keputusan yang berat untuk dilakukan kerana beliau sangat sayangkan sukan badminton yang diceburinya sejak berusia 10 tahun.

“Hari ini, semua orang tahu saya mahu mengumumkan persaraan saya selepas 19 tahun dalam BAM. Memang berat untuk saya buat keputusan ini, kerana saya amat menyintai sukan ini. Tapi buat masa sekarang apa yang penting untuk saya sekarang adalah kesihatan saya. 

Chong Wei turut berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini banyak memberi tunjuk ajar dan menyokong kariernya selama 19 tahun dalam arena sukan.

“…lebih penting ialah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua media yang sokong saya sepanjang 19 tahun karier saya. Bukan senang saya selalu pakai baju Gemilang Malaysia dan ke beberapa tempat untuk bermain di pelbagai kejohanan. Saya berbangga dapat memberikan keputusan yang terbaik untuk negara saya.

“Banyak orang lagi saya mahu berterima kasih. Saya hendak ucap terima kasih kepada KBS, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan lebih penting BAM. Terima kasih istimewa kepada semua jurulatih saya terutamanya Datuk Misbun (Sidek) yang membentuk saya, Hendrawan, Sew Bock yang banyak ikut saya serta pegawai ISN.

“…dan terima kasih juga kepada keluarga, isteri saya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong saya bertarung demi negara,” katanya dalam linangan air mata.

Chong Wei menegaskan, selepas menjalani pemeriksaan pada April lepas, doktor memintanya untuk terus berehat daripada menjalani latihan berat kerana tidak mahu  masalah kanser hidung yang dihadapinya kembali menyerang.

Selain daripada menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.