Connect with us
Kool FM

Sukan

Spectator Sukan – Laluan Menjadi Jurulatih Dan Cabaran ‘Life After Football’

Cabaran yang sukar selepas bersara sebagai pemain bola sepak…

Published

on

Episod Spectator Sukan pada minggu ini agak unik sedikit kerana ianya ke udara dari rumah bersama AG dan Hanif Miswan, bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan terhadap Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perbincangan kali ini menjurus lebih kepada sisi pandangan seorang jurulatih bola sepak pula yang mana pandangan-pandangan ini dilontarkan oleh Nidzam Jamil, selaku jurulatih Felda United FC (FUFC).

Bagi tempoh PKPB ini, diakui latihan yang dijalankan sedikit sukar kerana perlu mengikut tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bagi pasukan FUFC, latihan dijalankan mengikut kumpulan dan masa yang berasingan. Bagaimanapun, melalui khabar berita terbaharu yang menyatakan FUFC tidak akan menyertai saingan liga-liga utama musim hadapan, ia sedikit sebanyak menjejaskan motivasi para pemain. Begitulah juga dengan Nidzam yang turut berkongsi perasaan sedih apabila dia juga turut akan dilepaskan sebagai jurulatih FUFC.

Menurutnya, perasaan sedih itu memang tidak dapat diselindung lagi kerana bola sepak sudah menjadi sebagai platform utama dalam hidupnya. Selain itu, segala pengalaman yang dilalui bersama pasti akan dirindui. Walau bagaimanapun, Nidzam yang sudah empat musim bersama FUFC mengakui perjalanan dia dalam bidang bola sepak ini haris diteruskan.

Laluan Menjadi Jurulatih Bukan Mudah

Melalui perkongsian bersama Nidzam tentang hala tujunya selepas ini, dia menyatakan tetap akan mencari peluang-peluang yang ada di tempat lain. Dia turut menyatakan tidak kesah jika dia tidak menjadi jurulatih untuk pasukan yang besar selepas ini. Baginya, tanggapan bahawa jurulatih pasukan besar ini hanya mahu menjadi jurulatih pasukan besar yang lain adalah tidak benar.

Dalam soal jawab itu, Nidzam turut memberi pandangan tentang apa tindakan yang perlu dilakukan oleh seseorang itu untuk menjadi jurulatih dalam industri bola sepak. Baginya, menjadi seorang jurulatih bola sepak ini adalah satu proses yang panjang. Nidzam pada awalnya juga tidak bermula sebagai jurulatih pasukan yang besar, tetapi sebagai jurulatih pasukan di kawasan taman sahaja. Tetapi kemudian dari situ dia mula melompat dari satu peringkat ke peringkat seterusnya.

Tambahan lagi, laluan menjadi jurulatih juga memerlukan pelaburan wang yang banyak. Antara perkara yang perlu dilaburkan adalah seperti menyertai kursus-kursus, mendapatkan lesen kejurulatihan dan juga mendapatkan sijil pengiktirafan. Menurutnya, jangan bersoal tentang wang untuk dilaburkan kepada diri sendiri. Akhir sekali, perlu menanamkan sifat sabar yang tinggi kerana ia merupakan satu proses yang memakan masa. 

Arah Tuju Pemain Bola Sepak Selepas Bersara?

Ini merupakan soal paling popular dalam kalangan pemain bola sepak, dan kebanyakannya masih tidak mendapatkan formula yang tepat. Bagi Nidzam, dia selalu menggalakkan pemain-pemian bola sepak ini untuk mendapatkan second skill seperti mendapatkan lesen-lesen berkenaan kejurulatihan bola sepak. Selain itu, nasihat paling utamanya adalah untuk menghabiskan pelajaran atau sambung belajar, serta mengikuti kursus-kursus yang dilihat sesuai. Dia turut akui pelajaran merupakan tunjang utama bagi menjamin kelangsungan kerjaya.

Seterusnya, Nidzam turut menggalakkan para pemain untuk membuat perancangan kewangan yang baik kerana kehidupan selepas bola sepak itu memang amat berbeza. Situasi pemain bola sepak di Malaysia selepas tamat kerjaya adalah sama dengan pemain-pemain di luar negara. Ada yang berakhir dengan kehidupan yang merudum kerana sukar mengekalkan gaya hidup seperti semasa bergelar pemain bola sepak. Pemain yang masih sukses selepas bersara ada, namun tidak ramai. Oleh sebab itu, Nidzam menyarankan untuk semua pemain bola sepak bersedia sebelum bersara.

Menurut Nidzam, melalui kaji selidik yang dijalankannya, majoriti pemain bola sepak tidak mempunyai persediaan terhadap ‘life after football’ dan berakhir di tempat yang tidak sepatutnya. Mungkin isu ini boleh diketengahkan kerana ia merupakan cabaran besar buat pemain bola sepak.

Perbezaan Jurulatih Tempatan Dan Juga Antarabangsa

Membalas soalan tentang kehebatan jurulatih tempatan dan luar negara, Nidzam berpendapat kedua-duanya sama sahaja dari segi kelayakan. Ianya kerana kesemua lesen kejurulatihan menggunakan standard yang sama. Namun, apa yang membezakan setiap jurulatih ini adalah falsafah yang digunapakai semasa permainan. Menurutnya, jika jurulatih itu pernah melatih kelab besar seperti Manchester United, maka ia tentu terdapat perbezaan yang ketara. Tetapi jika jurulatih itu hanya bermain di Asia Tenggara, maka jurang perbezaan itu seperti tidak ada.

Nidzam menyatakan, jika perlu untuk mengambil jurulatih luar, pastikan ambil yang pernah menguruskan pasukan-pasukan yang besar. Biar kita belajar daripada mereka, dan bukannya mereka belajar daripada kita. Selain itu, Nidzam juga sempat memuji B Sathianathan, yang mana Nidzam pernah menjadi penolong jurulatih kepadanya selama 2 tahun. Menurut Nidzam, B Sathianathan merupakan seorang jurulatih yang amat memahami pemain-pemainnya walaupun ramai yang kata sebaliknya.

Itulah antara perbincangan dalam Spectator Sukan minggu ini. Tentunya lebih banyak lagi perbincangan menarik untuk minggu-minggu akan datang. Bagi anda yang terlepas mendengarkan Spectator Sukan setiap hari Sabtu dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tu, bolehlah dengarkan ulangannya di Catch-Up Kool, di laman sesawang Kool FM.

 

Baca juga artikel menarik lain:

Spectator Sukan – Akibat COVID-19, Pengusaha Pusat Sukan Terpaksa Gulung Tikar

Spectator Sukan – Rombakan Piala Malaysia Dalam Menghadapi Wabak COVID-19

 

 

 

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement