Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Berdendam Boleh Mendatangkan Bahaya Kepada Kesihatan Badan

Lebih baik memaafkan…

Published

on

Sebagai manusia, kita dikurniakan dengan pelbagai emosi untuk menzahirkan perasaan gembira, marah dan sedih kepada orang sekeliling kita. Segala emosi yang kita rasakan adalah normal hasil daripada tindak balas peristiwa dalam kehidupan kita. Namun, jika kita didatangkan dengan emosi marah atau terguris hati sehingga ia membuatkan kita berasa dendam, itu bukan lah satu perkara yang baik. Normal untuk kita berasa marah, tetapi janganlah sampai kita ni menyimpan dendam.

Pernah tak anda terfikir apakah kesan perasaan dendam yang sememangnya merupakan satu perasaan yang negatif terhadap tubuh badan kita? Menurut sebuah portal kesihatan, jika anda terus dengan perasaan negatif seperti marah, dendam dan bermusuhan, lama kelamaan ia akan mendatangkan kesan sampingan terhadap tubuh badan kita. Jadi apakah kesan sampingan yang dimaksudkan itu?

Melemahkan Fungsi Tubuh Badan Kita

Menurut Dr. Steven Standiford, Ketua Bedah di Kemudahan Rawatan Kanser di Amerika Syarikat, kesedihan yang berpanjangan akan membuatkan tubuh kita mengalami kegelisahan secara dalaman. Secara tak langsung, ia akan melonjakkan kortison dan paras adrenalin dalam badan. Akibatnya, ia mengurangkan jumlah sel yang berfungsi membunuh sebarang ancaman dalam badan.

Jadi bila kita kerap marah, berdendam dan sedih berpanjangan, sel-sel yang melindungi badan kita daripada sebarang penyakit akan terhalang. Menurutnya lagi, jika ia berterusan badan kita berkemungkinan akan mendapat penyakit seperti kanser. Maka, jika anda memilih untuk tidak memaafkan dan terus berdendam, tubuh badan anda akan terdedah kepada bahaya penyakit dan mungkin akan menyukarkan anda untuk terus pulih.ย 

Sebab itu adalah sangat penting untuk merawat luka emosi agar ia tidak merebak menjadi dendam berpanjangan. Selain itu, seseorang yang menerima rawatan tentu akan menjejaskan proses pemulihan sekiranya emosi negatif itu menguasai diri.

Kita Perlu Mahir Menguruskan Emosi

Kemahiran mengurus emosi ini bukanlah satu perkara yang boleh dianggap tidak penting. Mungkin ramai yang tak sedar tentang kemahiran ini dan akhirnya membiarkan emosi tidak terkawal yang membawa kepada peristiwa yang tidak diingini. Menurut Fadli Aziz, Pakar Pengurusan emosi, walaupun seseorang itu bijak dan terpelajar, belum tentu dia pandai menguruskan emosinya. Bila emosi yang negatif tidak diurus dengan betul, akibatnya dia akan melakukan perbuatan yang membahayakan diri sendiri.ย 

Fadli turut memberi perumpamaan emosi ini ibarat belon yang diisi angin. Jika ia terus ditiup tanpa kawalan maka akhirnya ia meletup dan mencetuskan perkara yang luar dari jangkaan seperti melarikan diri, mencederakan diri ataupun yang paling teruk membunuh orang lain. Menurutnya, kecederaan emosi yang tidak dirawat akan membuatkan seseorang itu melakukan perkara di luar jangkaan.ย 

Balas Dendam Cuma Rasa Puas Seketika

Memang diakui mereka yang berjaya membalas dendam akan merasakan puas atau lega. Seperti sudah berjaya melepaskan amarah yang disimpan selama ini. Namun, menurut Fadli, itu hanya lah satu kelegaan sementara. Hasil daripada balas dendam itu tidak akan mengubati luka terhadap emosi kita, walaupun mungkin kita terasa seperti dah terubati. Akibatnya, perasaan dendam itu masih ada dan akan berulang.

Cara yang terbaik adalah dengan memaafkan dengan sepenuh hati agar perasaan dendam itu tidak bersarang dalam diri kita. Selain itu, kita juga boleh belajar teknik uruskan emosi yang berkesan. Antara salah satu cara adalah dengan menukarkan tenaga negatif kepada positif. Berhenti untuk terlalu melayan perasaan negatif dan cuba untuk terapkan tenaga positif dalam diri. Walau bagaimanapun, jika luka emosi dah terlalu dalam, adalah lebih baik untuk terus dapatkan khidmat pakar.

Apa-apa pun, kita perlu akui bahawa emosi negatif yang berpanjangan boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan tubuh kita. Semoga anda dapat belajar untuk uruskan emosi diri dan mendidik diri untuk menjadi seorang yang pemaaf.

 

 

 

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement