Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Pengurusan Kewangan Semakin Penting. Elakkan Berbelanja Melebihi Kemampuan

Jangan berbelanja ikut nafsu…

Published

on

Dalam era pandemik COVID-19 ini, tentu cabaran ekonomi yang perlu kita harungi semakin hebat dan sukar. Pada waktu yang getir ini, pengurusan kewangan secara berhemat adalah sangat penting bagi menjamin kelangsungan hidup. Gagal menguruskan kewangan, makan kita akan lebih cenderung mempunyai masalah kewangan dan diisytiharkan muflis. Baru-baru ini juga terdapat laporan menyatakan tahap pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat berada pada paras membimbangkan. Mungkin masih belum terlambat dan ada beberapa perkara yang boleh dilakukan sebagai langkah persediaan menghadapi kesukaran ekonomi. 

Anak Muda Gemar Berbelanja Lebih Daripada Kemampuan

Menurut laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, golongan millennial (berusia antara 25 hingga 44 tahun) di negara ini mencatat peningkatan membimbangkan dalam jumlah individu yang diisytihar muflis. Hal ini dinyatakan berpunca daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan. Tambahan lagi, golongan muda yang baru bekerja memilih menggunakan kad kredit untuk memenuhi kehendak berbelanja melebihi kemampuan. Pengakhirannya, ramai antara mereka diisytiharkan muflis pada usia muda.

Pengurusan Kewangan Bermula Dari Sekolah

Isu muflis pada usia muda bukanlah isu baharu. Oleh sebab itu, pendidikan kewangan adalah amat penting dan perlu diterapkan kepada setiap generasi muda bermula dari peringkat awal pengajian supaya golongan itu mampu menguruskan kewangan dan menangani bebanan hutang dengan bijak. Antara usaha yang patut dilakukan adalah warga Kementerian Pelajaran (KPM) dan golongan mahasiswa dibawa mengikuti kursus dianjurkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) secara dalam talian.

Tujuan warga KPM mengikuti kursus tersebut adalah supaya ia boleh diterapkan di peringkat sekolah. Topik berkenaan pengurusan kewangan ini juga wajar diperkenalkan kepada para pelajar di sekolah. Dengan cara ini, barulah ia bertepatan dengan matlamat untuk mendedahkan ilmu pengurusan kewangan pada usia muda. Di sekolah, secara amnya para pelajar akan diajar tentang asas simpanan kewangan dan konsep pelaburan. Pembelajaran ini akan membuatkan mereka lebih memahami sendiri asas-asasnya dan boleh membuat perancangan kewangan lebih awal.

Perlukan Kerjasama Guru Dan Ibu Bapa

Di alam persekolahan, para pelajar patut didedahkan dengan ilmu pelbagai jenis pelaburan seperti pelaburan saham, hartanah dan amanah saham. Selain itu, boleh juga mengadakan perbincangan mengenai kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit serta pinjaman peribadi. Pada akhir pengajaran, murid diharapkan dapat mengaplikasi dan menilai sendiri pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan berhemat untuk masa depan mereka. Namun, semua ini tetap memerlukan peranan ibu bapa di rumah juga sebagai kelangsungan pembelajaran mereka.

Dalam hal ini, ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang lengkap supaya boleh mengajar anak-anak secara praktikal pula. Jika ibu bapa juga tidak cekap menguruskan kewangan, dikuatiri anak-anak tidak dapat melihat bagaimana sistem pengurusan kewangan yang baik dalam keluarga. Bagi golongan muda yang baru bekerja pula, pastikan anda tidak terjerat dengan hutang kad kredit dan terlalu mengikut nafsu semasa berbelanja. Apa-apa pun, pengurusan kewangan yang baik tidak boleh dipandang remeh kerana ia secara langsung akan menentukan kelangsungan hidup kita.

 

 

 

 

 

 

Sumber daripada: Berita Harian

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement