Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Penerimaan Muzik Rock Kapak di Malaysia Hari Ini

Selepas beberapa detik hitam yang dilalui oleh kumpulan rock dalam perjalanan seni, muzik rock masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang masih remaja pada ketika itu.

Published

on

Rock kapak merupakan sebuah aliran muzik yang sangat popular di Malaysia sekitar tahun 1980 hingga 1990 an. Rock kapak dikatakan mendapat nama “rock car-park” yang dikatakan berasal daripada persembahan rock “fun fair” di tempat letak kereta. Sebelum aliran muzik Rock mula bertapak di Malaysia, aliran muzik rock and roll atau lebih dikenali sebagai pop yeh yeh mendapat sambutan di sini. Penggunaan gitar elektrik di era rock n roll telah membuka peluang kepada muzik rock untuk bertapak di Malaysia. Muzik rock kapak berjaya muncul apabila kumpulan Sweet Charity dan Kingdom In Rock berjaya mengadaptasi muzik serta imej rock barat ke dalam budaya tempatan.

Kumpulan Sweet Charity yang diketuai oleh papa rock iaitu Ramli Sarip berjaya mendaki puncak kegemilangan dan muziknya dipengaruhi oleh Led Zeppelin serta Deep Purple. Selepas kejayaan kumpulan Sweet Charity membawa irama Rock masuk ke Malaysia, pelbagai kumpulan baru pula muncul. Kumpulan Lefthanded, The Burnmarks dan D’Febians adalah antara kumpulan awal yang berjaya muncul dengan imej rambut panjang dan seluar ketat. Kumpulan-kumpulan ini juga tampil pada di Battle of The Band pada tahun 1983 dan 1984 di Jubli Intan Hall Johor Bahru yang menyaksikan tiga kumpulan tersebut berjaya menjadi juara. Ini merupakan puncak tinggi apabila kumpulan ini mencipta nama dan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia pada ketika itu. Memasuki tahun 1985, album Cinta Buatan Malaysia daripada Search berjaya membawa demam rock di Malaysia. Kemunculan program televisyen seperti Muzik-Muzik berjaya menjadikan rock kapak sebagai muzik arus perdana pada ketika itu. 

Sweet Charity

Sweet Charity merupakan sebuah kumpulan muzik rock yang menjadi pencetus aliran muzik genre ini di Malaysia. Kumpulan ini dianggap sebagai mentor kepada penggemar muzik rock tanah air. Ditubuhkan di Singapura pada tahun 1967 dan memulakan kerjayanya di tapak-tapak pesta, fun-fair, majlis perkahwinan dan lain-lain pada tahun 70an. Nama sweet charity diambil sempena sebuah filem di Amerika Syarikat. Sehingga hari ini kumpulan ini masih lagi diingati kerana digelar sebagai ikon muzik rock dengan vokalis yang digelar “papa rock Malaysia” iaitu Ramly Sarip. Pada 1984 untuk mengukuhkan posisi mereka sebagai kumpulan rock, Sweet Charity telah bergabung dengan Blues Gang dan melaksanakan siri konsert rock di seluruh semenanjung Malaysia. Ini merupakan konsert bergerak pertama di Malaysia di dalam sejarah dan dalam siri akhir konsert ini mereka berjaya meraih hampir 50 ribu penonton. Pada 1986 juga, peminat muzik rock tanah air digemparkan dengan berita Ramly Sarip keluar dari Sweet Charity dan mula bergerak secara solo. Kemudian, Sweet Charity mula bergerak tanpa Ramly Sarip dan digantikan dengan penyanyi wanita. Tetapi sekitar tahun 1996, Sweet Charity bergabung semula bersama Ramly Sarip beraksi di pentas konsert Sejuta Wajah untuk mengimbau kembali kenangan semasa di tahun 80an. Dan sehingga harini ini hampir 4 dekad mereka masih lagi memperjuangkan muzik rock dengan cara masing-masing.

Lefthanded

Lefthanded ditubuhkan pada tahun 1976, dan mereka memang sudah terkenal di negeri Johor. Terkenal di peringkat nasional selepas memenangi pertandingan rock kebangsaan yang pertama, Juara rock 1983. Tunjang utama kumpulan ini adalah Man Kidal, yang terkenal kerana keunikan beliau bermain gitar dengan tangan kiri dan beliau bertanggungjawab dalam mengendalikan Lefthanded. Lefthanded juga telah bertukar beberapa vokalis seperti Rahim Maarof, Man Bai, dan akhirnya mereka bersama Dato’ Nash. Beberapa lagu mereka yang popular seperti Seruan dan Di Dalam Kidungmu, masih lagi diminati sehingga ke hari ini.

Search

Kumpulan Search diasaskan pada tahun 1981 di Johor Bharu oleh Yazid dan dianggotai oleh Hillary Ang, Daud dan Zainal. Mereka bermula sebagai kugiran kelab malam di Red Rooster Kuala Lumpur. Amy bersama mereka selepas diajak oleh Yazid sebagai vokalis untuk menyanyi di kelab malam tersebut. Pekerjaan mereka di kelab malam menemukan Search dengan M.Nasir dan akhirnya mereka menandatangan kontrak bersama syarikat rakaman Polygram Record pada tahun 1984 di Singapura. Sebelum sempat proses rakaman sebagai satu kumpulan, Hillary Ang dan Nasir keluar dari Search atas alasan perlu belajar lebih mendalam tentang muzik. Tempat mereka ketika itu digantikan oleh Man Kidal dan Yan Lefthanded, tetapi Hillary Ang dan Nasir kembali semula. Namun selepas beberapa tahun, Amy pula membuat keputusan menarik diri dari Search, dan mereka akhirnya berada diambang perpecahan. Kumpulan ini kemudiannya bergerak tanpa Amy dan mengambil langkah memilih sesiapa sahaja untuk menjadi vokalis mereka dan Awie Wings pernah menjadi vokalis jemputan untuk Search. Perjalanan kisah kumpulan Search penuh dengan pancaroba dan semuanya berakhir apabila mereka membawa haluan masing-masing.

Wings

Wings ditubuhkan sekitar tahun 1985 di Kuala Lumpur. Seperti kumpulan yang lain juga, mereka memulakan karier seni di tapak pesta, kelab, funfair dan majlis-majlis perkahwinan. Pada 1987, kumpulan ini diberi peluang untuk menjadi artis rakaman di bawah naungan ASP. dengan album terbitan M.Nasir mendapat sambutan luar biasa dan mereka mula membuat persembahan di seluruh negara. Mereka mula dikenali dan melonjak naik di Malaysia. Bantuan lagu dari M.Nasir dan JS Kevin, membawa mereka untuk berada di puncak. Namun, sekitar tahun 1993, selepas siri konsert jelajah double trouble, Awie membuat keputusan untuk keluar dari Wings kerana mempunyai masalah dengan pihak pengurusan. Kehilangan Awie di dalam Wings merupakan satu tamparan yang hebat. Beliau kemudiannya membawa haluan dengan bergerak secara solo dan juga menceburi bidang lakonan. Pada tahun 2015, Wings telah pun melaksanakan Konsert 30 tahun Wings dan sekarang mereka masih lagi berjuang untuk terus relevan berada di dalam industri muzik.

Kejatuhan Zaman Rock

Sekitar tahun 1986, semasa Battle of the Band berlangsung di Sungai Nibong, Pulau Pinang imej rock tercalar apabila berlakunya insiden pergaduhan dan amukan di tapak pesta tersebut. Ekoran insiden itu, kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan mengumumkan pengharaman keatas sebarang konsert muzik rock berkuatkuasa serta merta. Keputusan ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob. Semua pihak berkuasa termasuk PDRM diminta tidak lagi mengeluarkan sebarang permit bagi tujuan berkenaan sambil mendakwa muzik rock memberi pengaruh buruk kepada golongan belia.

Sebelum itu pun, penerimaan rock di dalam kalangan masyarakat di Malaysia tidak diterima baik apabila mereka dikatakan berpenampilan selekeh. Rata-rata kumpulan rock mengenakan imej berambut panjang, berseluar ketat dan memakai baju yang koyak. Imej ini mendapat bantahan dan mendorong kepada menghadkan penampilan mereka di saluran media kerajaan seperti radio dan TV RTM. lagu-lagu rock pada ketika itu “digam”, tidak boleh dimainkan di radio dan televisyen.

Kementerian Penerangan pada ketika itu menetapkan garis panduan dimana artis lelaki tidak boleh berambut panjang paras baru dan perlu merapikan pakaian mereka dahulu sebelum ingin muncul di layar televisyen. Hal ini telah menyebabkan ramai kumpulan  rock pada ketika itu mencari pendapatan mereka melalui persembahan di majlis-majlis dan funfair yang dihadiri beribu peminat yang masih menyokong mereka. Terdapat juga konsert jelajah yang dilakukan mereka mendapat tentangan hebat dari pihak parti politik atas alasan konsert tersebut bakal merosakkan akhlak anak muda. Bekas Perdana Menteri, Dato Sri Najib Razak yang pada ketika itu merupakan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan menyatakan bahawa muzik rock mempunyai unsur syaitan dan akan menyebabkan anak muda yang mendengar akan menjadi manusia yang tiada kewarasan.

Selepas beberapa detik hitam yang dilalui oleh kumpulan rock dalam perjalanan seni, muzik rock masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang masih remaja pada ketika itu. Kemuncak kepada muzik rock tanah air apabila lagu Isabella nyanyian Kumpulan Search berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu 1989. 

Kumpulan rock juga berjaya menguasai pentas Anugerah Juara Lagu 1991 yang menyaksikan lagu Takdir dan Waktu berjaya menggondol tempat pertama. Hal ini adalah pencapaian terbaik bagi aliran muzik rock tanah air. Kemunculan program televisyen seperti Muzik-Muzik berjaya menjadikan rock kapak sebagai muzik arus perdana pada ketika itu. Bukan itu sahaja, semakin banyak kumpulan rock yang berjaya dilahirkan seperti May, SYJ, Desire, Rusty Blade, Junction, Bloodshed, Handy Black, XPDC, Ekamatra, Ella & The Boys dan bermacam lagi sehinggalah era 1990-an. Setelah detik itu, demam rock terus melanda Malaysia sehinggakan ia berjaya menjadi fenomena dalam kalangan rakyat jelata. Bahkan demam telah menyebabkan anak muda berubah penampilan kepada imej rock dan ramai remaja pada ketika itu berlumba untuk menubuhkan kumpulan rock sendiri.

Demam rock ini juga dibantu oleh penulis lirik dan komposer yang berjaya menghasil lagu berkualiti tinggi. Sebut sahaja nama M.Nasir, Loloq, S.Amin Shahab dan JS Kevin pasti ramai peminat rock sejati mengenalinya. Srikandi Cintaku adalah maha karya M.Nasir yang sehingga kini masih lagi menjadi kegemaran rakyat Malaysia. S.Amin Shahab pula berjaya menjadikan  maha karyanya iaitu Suci Dalam Debu terus relevan sepanjang zaman malahan turut diminati oleh rakyat Indonesia. Bukan itu sahaja, JS Kevin juga berjaya mencipta lirik yang agak “makan dalam” seperti Aku Dan Sesuatu serta Hentian ini yang membicara kan tentang perjalanan kita sebagai seorang manusia. Diambang Wati adalah karya Loloq yang memilik makna mengenai kematian tetapi dikaburkan dengan nama seorang wanita agar kita dapat mencari mesej sebenar. Muzik rock tanah air juga berjaya merebak ke negara jiran terutamanya Indonesia. Pada ketika itu lagu-lagu rock menjadi siulan rakyat Indonesia malahan album kumpulan rock berjaya dijual dengan rekod berjuta-juta melebihi pasaran di Malaysia. Hal seumpama ini sudah semakin mustahil untuk terjadi hatta dalam mimpi sekalipun. Arena muzik rock tanah air terus mendakap zaman kegemilangannya sehinggalah perkara yang tidak disangka-sangka terjadi.

Sekitar November 1992, Amy dari Search dan Awie dari Wings menerima potongan rambut dari Menteri Penerangan agar dapat membuat kemunculan di corong radio dan Tv awam akan tetapi pihak RTM tidak mengotakan janjinya sehinggakan menerima kecaman daripada Amy sendiri.

Selepas itu aliran muzik rock di Malaysia tidak lagi mendapat sambutan yang hangat seperti permulaan kemunculannya. Walaupun kemunculan Ukays, Spring dan Slam dianggap sebagai penerus kepada perjuangan rock, namun mereka sudah kelihatan lebih sopan berbanding kumpulan rock era 1980-an. Seterusnya kita menyaksikan kemunculan kumpulan-kumpulan baru seperti Spin, Scoin, Spoon dan bermacam lagi sebagai legasi pewaris muzik rock. Namun sehingga ke hari ini kebanyakan lagu-lagu rock yang popular sekitar tahun 1980-1990 masih menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Pilihan lagu-lagu ini sering menjadi pilihan masyarakat untuk karaoke.

Masalah yang menyebabkan jatuhnya era band rock adalah kerana ada yang menyatakan lagu-lagu selepas band gergasi kebanyakannya “copy paste” dan lahirnya banyak band hanya sekadar popular sebentar dan kemudiannya berpecah. Ada juga yang menyatakan bahawa kumpulan rock selepas itu sama seperti band sedia ada dan mereka tiada identiti sendiri serta pembaharuan kepada lagu. Akan tetapi zaman berubah dan pengaruh luar juga merupakan punca kepada tiada lagi penerimaan kepada lagu rock pada hari ini.

Penulis: Farhana Romle

 

Sumber: LagendaRock, Permasupsi, Awani

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement