Connect with us
Webinar Kool

Gaya Hidup

Konsep ‘RKE’ Sebagai Panduan Mengurus Anak Di Rumah Sepanjang Tempoh PKPB

Boleh gunakan konsep ini sebagai panduan…

Published

on

Mungkin bukan menjadi permintaan penduduk di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk sekali lagi diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran peningkatan kes COVID-19. Hal ini turut membawa kepada arahan untuk majoriti antara kita bekerja di rumah. Penutupan institusi pendidikan termasuk TASKA, TADIKA, sekolah, kolej dan institut pengajian tinggi juga bermaksud anak-anak kita, terutama yang kecil turut berada di rumah sambil memerhatikan kita menyiapkan tugasan pejabat.

Hal ini mungkin akan menimbulkan sedikit gangguan kepada rutin tugasan kita yang biasa kita lakukan di pejabat. Selain itu, anak-anak juga memerlukan perhatian kita dalam pembelajaran dan urusan seharian mereka di rumah. Perubahan dari segi masa dan suasana kerja dan juga belajar di rumah jika tidak diuruskan dengan baik pasti akan merumitkan lagi keadaan. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan suasana di rumah kekal kondusif untuk urusan kerja dan juga belajar sepanjang tempoh PKPB ini.

Boleh Amalkan Konsep RKE

Apakah itu konsep RKE? Menurut Kamariah Abu Bakar, Pensyarah Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), konsep RKE merujuk kepada penyediaan rutin (R), penjagaan kesihatan (K), dan juga pemeliharaan emosi (E). Konsep ini boleh dijadikan sebagai panduan buat ibu bapa sebagai aturan rutin di rumah. 

1. Rutin

Tidak bersekolah tak bermakna anak-anak tidak mempunyai tugasan yang perlu dilakukan. Begitu juga dengan anak-anak yang sudah tidak ke kuliah lagi kerana mereka perlu mengikuti kelas dalam talian seperti yang ditetapkan guru masing-masing. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memahami dan memantau rutin anak-anak pada siang hari yang juga mempunyai tanggungjawab mereka dalam meneruskan sesi pembelajaran. 

Perkara ini penting bagi memastikan perkembangan kognitif mereka tidak ketinggalan apabila tiba masa untuk hadir semula ke sekolah. Selain itu, pada masa terluang ibu bapa juga boleh menyelitkan aktiviti lain untuk anak-anak seperti membantu menguruskan kerja rumah seperti bersama menyediakan makanan dan mengemas rumah. Ia dapat menjamin rumah berada dalam keadaan terurus dan dapat dilakukan secara bersama. Selain itu, jangan lupa selitkan hobi atau aktiviti kegemaran mereka agar tidak bosan di rumah.

2. Kesihatan

Kesihatan perlu dititikberatkan dalam tempoh PKPB agar secara urusan harian kita dapat dijalankan dengan lancar. Jika anda mempunyai kawasan atau trek untuk bersenam, gunakan peluang dan kemudahan itu untuk membuat rutin senaman.

Luangkan sedikit masa pada pagi atau petang untuk bersenam bagi mengeluarkan peluh. Paling mudah, berjalan keliling taman atau kawasan rumah tanpa sentuhan fizikal. Jika tiada peralatan dan kemudahan di kawasan rumah, boleh je lakukan senaman aerobik atau zumba di dalam rumah seisi keluarga.

3. Emosi

Emosi merupakan cabaran utama dalam kita menjalankan urusan kerja dari rumah. Gagal menguruskan emosi boleh merosakkan keharmonian keluarga. Selain emosi kita, emosi anak-anak juga perlu diambil kira. Kita perlu akui anak-anak mungkin lebih gemar dan seronok berada di luar bersama kawan-kawan. Apabila arahan PKPB dikeluarkan, maka sebagai ibu bapa kita mengehadkan pergerakan anak-anak dengan orang luar dan menggalakkan mereka berada di rumah.

Tindakan ini boleh memberikan kesan kepada emosi anak. Justeru, mereka perlu diberi ruang berkomunikasi dan bersosial dengan rakan serta ahli keluarga. Dengan adanya teknologi serba canggih ini, jarak fizikal bukan sempadan dan halangan untuk berinteraksi serta bersosial. Berbalas pesanan dan menghantar berita atau gambar di media sosial pasti menceriakan mereka.

Selain itu, seringlah bertanya khabar anak-anak di rumah dan ambil perhatian terhadap keadaan diri mereka. Komunikasi yang baik mampu merungkaikan seribu satu persoalan yang terselindung, dan anda juga mampu untuk mencari jawapan yang diperlukan.

Tuntasnya, kekangan yang ada sepanjang tempoh PKPB ini perlu ditangani dengan baik bagi menjamin kesejahteraan keluarga anda di rumah. Mainkan peranan dalam menangani segala kerumitan yang muncul, dan sentiasa pantau keadaan fizikal, mental, dan rohani anak-anak di rumah. Akhir sekali, teladan yang ditunjukkan ibu bapa adalah model paling efektif dalam mempengaruhi rutin anak-anak.

 

Baca juga artikel menarik lain:

Tular Video Ibu Campak Dua Anaknya Ke Sungai Hanya Kerana Dendam Terhadap Suami

Prosedur Kelahiran Gagal Sampai Terputus Kepala Bayi!

 

 

 

 

 

 

Sumber daripada: Berita Harian

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement