Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Cara Nak Berjimat Ketika Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan

Sedar tak sedar, majoriti perbelanjaan kita habis pada makanan dan mungkin separuh daripadanya dibazirkan begitu sahaja. Rugi bila kita bazirkan makanan dan juga duit. Jadi, di sini kami nak kongsikan cara yang boleh kita gunapakai bersama untuk berjimat ketika berbuka puasa di bulan Ramadan.

Published

on

Anda perasan tak duit habis bagaikan air ketika berbuka puasa? Ramai tak sedar dengan perkara ini namun ianya memang terjadi. Kadang-kadang perbelanjaan makanan untuk berbuka puasa semasa Ramadan lebih banyak daripada bulan-bulan yang lain. Iyalah, mungkin kerana  terpaksa menahan lapar sepanjang hari membuatkan kita lebih berselera untuk makan. Ada juga yang naik berat badan di bulan puasa kerana terlebih makan. Kenaikan berat badan semasa bulan puasa bukanlah sesuatu yang ganjil.

Apa yang lebih menjadi ujian adalah kehadiran bazaar Ramadan. Di bazaar ada bermacam-macam jenis makanan dan minuman sampaikan rata-rata yang datang ke bazaar bingung dan pening kepala nak pilih yang mana satu, semuanya nampak sedap. Bazaar adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu ramai setiap tahun, susah nak tolak rasa hati untuk ke bazaar lebih-lebih lagi bila ada baazar terdekat dengan rumah ataupun tempat kerja.

Baca juga: Cepat Rasa Dahaga Semasa Berpuasa? Cuba Cara Ini Untuk Elak Dehidrasi

Sedar tak sedar, majoriti perbelanjaan kita habis pada makanan dan mungkin separuh daripadanya dibazirkan begitu sahaja. Rugi bila kita bazirkan makanan dan juga duit. Jadi, di sini kami nak kongsikan cara yang boleh kita gunapakai bersama untuk berjimat ketika berbuka puasa di bulan Ramadan.

Masak Juadah Sendiri

Umum tahu jika kita masak juadah sendiri ianya lebih sihat dan bagus malah lebih menjimatkan berbanding beli di luar. Jadi, amat disarankan untuk masak sendiri di rumah terutama buat yang berkeluarga ramai. Ini adalah kerana, lebih ramai ahli di dalam rumah, lebih besar saiz hidangan yang perlu dihidangkan. Bukan itu sahaja, jenis makanan juga turut menjadi lebih pelbagai mengikut selera ahli keluarga. Jadi, bila beli di luar agak rugi.

Maklum, mungkin ramai yang lebih gemar beli di luar kerana tak sempat memasak sendiri di rumah kerana bekerja. Beli di luar lebih menjimatkan masa. Jika ini yang berlaku, cadangan yang boleh diberikan adalah untuk beli lauk sahaja di luar tetapi nasi masak sendiri di rumah. Walaupun harga nasi tidaklah mahal apabila beli di luar tetapi bila beli setiap hari agak rugi sedangkan nasi amat mudah untuk dimasak di rumah. Selain itu, kita juga boleh tambah nasi jika tak cukup dan boleh simpan untuk dimakan pada waktu sahur jika nasi yang dimasak tidak habis. Di situ pun dah boleh berjimat.

Bancuh Minuman Sendiri

Setuju tak kalau saya kata air adalah yang paling dicari-cari ketika berbuka puasa? Sebenarnya kita lebih dahaga daripada lapar. Ada yang bila dapat air pun jadi, tak perlu makan. Tapi janganlah sampai begitu, masih perlu menjamah sedikit makanan ya setelah seharian menahan lapar.

Bila ke baazar macam-macam air kita jumpa. Ada air katira, mangga susu, tebu, teh beng dan banyak lagi. Kalau tengok lama sikit mesti tergoda, antara dugaan terbesar di bulan puasa. Namun, lebih baik jika kita buat sahaja air sendiri di rumah. Bancuh air hanya mengambil beberapa minit sahaja daripada masa kita. Sempat rasanya jika kita bancuh air sekejap sebelum berbuka. Ini lebih menjimatkan daripada kita beli di luar.

Rancang Menu Anda Lebih Awal

Merancang sebelum melakukan sesuatu memberi banyak kebaikan kepada seseorang. Bukan sahaja kita perlu rancang kehidupan atau perjalanan kita tetapi perancangan dalam bab makanan pun perlu tau. Bila kita senaraikan menu untuk berbuka setiap hari, itu akan menjimatkan masa kita untuk berfikir malah, wang kita juga lebih terpelihara. Lebih mudah bila kita tahu apa yang kita mahu dan terus ke destinasi. Tak adalah kita membazir dengan membeli makanan yang tidak perlu.

Anggarkan berapa bajet anda untuk sehari supaya anada tidak membeli dengan berlebihan. Bila kita ada bajet, kita akan lebih peka dan beringat. Jika anda pilih untuk masak sendiri di rumah, pastikan anda rancang menu yang ingin dimasak dan pastikan bahan-bahan di dapur lengkap. Lebih menjimatkan jika bahan tersebut boleh digunapakai untuk beberapa jenis menu lagi dan mampu bertahan untuk beberapa hari. Jadi anda tak perlulah ke kedai untuk membeli bahan-bahan masakan setiap hari. Itu juga boleh menjadi punca kepada pembaziran.

Daripada Beli Sendiri Baik Kirim

Sebenarnya lebih elok jika anda kirimkan sahaja juadah berbuka puasa kepada rakan-rakan, jiran atau ahli keluarga yang ingin ke bazaar Ramadan. Hal ini akan menahan kita daripada membeli dengan banyak. Ialah kasihan kepada si tukang beli yang perlu beratur dan singgah ke sana dan sini. Cukuplah jika kita kirimkan 1 ke 3 menu sahaja. Itu pun sudah cukup sangat untuk kita berbuka puasa. Dengan cara ini juga, kita tidak akan tergoda dengan jenis juadah lain yang ada di baazar kerana kita tidak dapat lihat dan bau.

Berbuka Puasa Di Masjid

Ramai orang suka berbuka puasa di masjid bukan sahaja kerana mereka mendapat makanan percuma daripada pihak masjid, tetapi mereka dapat merasakan ‘vibe’ yang lain bila berbuka di tempat suci ini lagi-lagi pada waktu Ramadan. Auranya lebih terasa berbanding berbuka di rumah atau restoran. Malah, bila dapat berbuka di masjid lebih menyenangkan untuk kita beribadah. Berbuka di masjid bukan sahaja merupakan salah satu cara untuk kita berjimat terutama buat golongan fakir miskin dan musafir, ia juga mendekatkan kita dengan masyarakat setempat.

Baca juga: Kelebihan Berpuasa Dari Sudut Psikologi

Sumber: Dream

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement