Gaya Hidup
Bukan Sekadar Penyedap Rasa, Ini Khasiat Lain Yang Terkandung Dalam Lada Hitam
Menambah perasa makanan dan meningkatkan kesihatan badan.
Lada hitam ni merupakan satu rempah yang agak terkenal di seluruh dunia dan sering digunakan dalam masakan. Selain itu, bahan ini turut digunakan untuk perubatan tradisional Melayu. Ia bukanlah rempah yang biasa kerana ia mengandungi pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan tubuh. Disebabkan lada hitam mempunyai pasaran yang luas, ia juga digelar sebagai ‘Raja Rempah.’
Kalau mengikut sejarah, lada hitam ini berasal dari kawasan barat daya India yang dikenali sebagai Malabar Coast. Namun kehadirannya ke Tanah Melayu boleh diimbas semula sekitar tahun 1840 semasa ia ditanam di Sarawak. Menurut portal Jiwa Sihat pula, Malaysia merupakan pengeluar lada hitam ke tujuh terbesar di dunia dengan saiz pengeluaran sebanyak 23,500 tan metrik pada tahun 2017.
Lada hitam telah digunakan secara perubatan sejak zaman kuno lagi. Ia dikatakan boleh meningkatkan imuniti badan, merawat cirit-birit, asma, masalah penghadaman, gastrik, kembung perut, imsomnia, dan sawan. Selain itu, rempah ini juga tinggi mineral termasuk kalsium, magnesium, fosforus, kalium dan natrium. Bahan-bahan ini memainkan peranan penting kepada khasiat lada hitam. Berikut merupakan beberapa khasiat lain berkenaan lada hitam.
Tinggi Kandungan Antioksidan
Setiap hari kita terdedah kepada radikal bebas seperti bahan kimia, racun dan pencemar yang terdapat di persekitaran. Radikal bebas ini merupakan molekul yang tidak stabil dan boleh merosakkan sel sihat. Jika makan lada hitam yang dicampur dalam makanan, ia boleh membantu membaiki kerosakan seterusnya mengurangkan risiko barah dan penyakit lain.
Membantu Meningkatkan Pencernaan
Lada hitam membantu merangsang seluruh sistem pencernaan dari kelenjar air liur hingga usus besar termasuk jus pencernaan yang sangat penting seperti hempedu dan asid dalam membantu mencernakan makanan. Mereka yang menghadapi masalah ulser sama ada di mulut, sistem pencernaan atau sedang menjalani diet, pengambilan lada hitam boleh membantu masalah tersebut.
Membantu Badan Berpeluh
Berpeluh bagus untuk anda kerana ia merupakan satu proses membuang toksin dalam badan. Lada hitam pula dikatakan boleh membantu tubuh membuang lebihan air melalui air kencing yang mengandungi lemak dan asid urik.
Membantu Menurunkan Berat Badan
Lada hitam membantu menjadikan fungsi badan lebih baik termasuk menurunkan berat badan. Pemecahan sel lemak dibantu lapisan luar biji lada hitam dan memudahkannya diproses oleh badan. Secara tidak langsung membantu menurunkan berat badan dengan lebih mudah.
Baik Untuk Otak
Lada hitam merangsang laluan kimia di otak yang membantu meningkatkan daya ingatan dan fungsi kognitif. Satu kajian menunjukkan lada hitam sangat berkesan dalam membantu mencegah penyakit Alzheimer dan meningkatkan ingatan dan pembelajaran.
Bersifat Antikeradangan
Sifat antikeradangan pada lada hitam berupaya mengurang dan menghentikan proses sel mati. Ia juga berperanan mencegah dan merawat penyakit Parkinson.
Berupaya Melawan jangkitan
Lada hitam sering digunakan dalam perubatan Ayurveda bagi melawan jangkitan termasuk gigitan serangga. Rempah ini bertindak seperti serat kerana membantu menyingkirkan kolesterol berlebihan pada dinding arteri, mengurangkan risiko terkena aterosklerosis iaitu keadaan berkaitan serangan jantung dan angin ahmar.
Kesimpulannya, lada hitam ini merupakan rempah yang boleh membantu mengimbangkan kesihatan tubuh badan. Kajian-kajian terdahulu juga telah dilakukan bagi membuktikan khasiat lada hitam, walaupun sesetengahnya memerlukan kajian lanjut secara klinikal. Apa-apa pun, ia merupakan ‘Raja Rempah’ yang telah digunakan beribu tahun lalu yang berjaya memberikan kebaikan kepada tubuh badan manusia.
Baca juga artikel menarik lain:
Pasang Lampu Ketika Tidur Membahayakan Kesihatan?
Jadi Malas Baik Untuk Kesihatan?