Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Bijak Urus Pembelajaran Maya Dan Ikuti Langkah Ini Untuk Kesihatan Kekal Optimum

Kekal sihat dalam norma baharu.

Published

on

Kemelut pandemik COVID-19 tentunya dilihat dari pelbagai sudut berdasarkan latar belakang masing-masing. Bagi yang bekerja, ia memberi kerisauan kepada kesan perbelanjaan bulanan sekiranya tiada pekerjaan lagi. Tetapi bagi yang masih belajar, ia tidak bermakna golongan ini tidak mempunyai kebimbangan yang tersendiri. Warga pendidik serta pelajar juga mula berhadapan dengan budaya baharu, iaitu pengajaran secara maya. Perubahan ini walaupun nampak mudah untuk dilaksanakan, tetapi ia memberi kesan proses pembelajaran buat pelajar-pelajar.

Pembelajaran Maya Jejas Kesihatan

Pembelajaran secara maya pada awalnya dilihat sebagai satu konsep yang mudah untuk diterapkan. Apa yang diperlukan adalah tahap capaian dan kepantasan internet yang memuaskan serta peralatan seperti komputer riba. Manakala, bahan pengajaran pula banyak menggunakan kaedah digital. Namun, semakin lama pembelajaran secara maya ini berlangsung, semakin bertambah beban yang harus dipikul oleh tenaga pengajar dan juga para pelajar. Ini belum ditambah pelbagai tugasan lain dalam pentadbiran dan penyelidikan.

Pelajar mahupun pengajar, kedua-duanya bergelut dengan masa dan tenaga. Kesibukan ini menjadikan ramai mengabaikan penjagaan kesihatan fizikal mereka. Dalam pengajaran dan pembelajaran secara maya, pendidik dan pelajar tidak terkecuali daripada cabaran fizikal. Puncanya duduk melebihi dua jam pada satu-satu masa, selain masalah penglihatan akibat terlalu lama menggunakan komputer.

Pembelajaran secara maya menuntut para pendidik dan pelajar mengikuti jadual waktu yang ditetapkan. Kebanyakan pelajar biasanya akan mengikuti dua jam kuliah syarahan dan sejam kuliah tutorial. Ini bermakna tiga jam bagi setiap kelas. Apabila duduk terlalu lama, ia boleh mendatangkan pelbagai akibat seperti kesan kepada postur badan, ketegangan otot, meningkatkan risiko obesiti akibat kurang pergerakan dan menjejaskan sistem penghadaman.

Curi Masa Untuk Kesihatan Kekal Optimum

Apa yang anda boleh lakukan adalah, pastikan anda tidak berada dalam posisi duduk berterusan selama tiga jam. Bahagikan masa setiap 20 hingga 30 minit dan masa senggang 10 minit untuk berehat dan regangkan otot.

 

Senaman regangan ringkas boleh dilakukan berdasarkan saranan psikoterapi, doktor ataupun senaman ringkas yang boleh didapati melalui enjin carian di internet atau bahasa mudahnya kita google sahaja. Kebaikan melakukan senaman regangan otot ini adalah ia dapat menambah baik postur badan, meningkatkan kembali perjalanan darah, mengurangkan ketegangan otot, meningkatkan kecerdasan mental serta mengurangkan risiko kecederaan.

Selain itu, kesihatan mata juga tidak boleh dipandang ringan. Penggunaan komputer terlalu lama boleh menyebabkan ketegangan dan keletihan mata. Mungkin hal ini juga perlu dititikberatkan buat anda yang bekerja menghadap komputer. Apa yang boleh dilakukan adalah mengaplikasikan peraturan 20:20:20 iaitu 20 saat memandang ke arah lain sekurang-kurangnya 20 kaki setiap 20 minit masa melihat skrin komputer. Peraturan 20:20:20 boleh diguna ketika waktu rehat 10 minit yang dinyatakan sebelum ini.

Uruskan Masa Untuk Elak Stres

Bila di rumah, pelajar bukan sahaja perlu fokus kepada pembelajaran tetapi perlu juga membahagi masa membantu keluarga dalam menguruskan urusan harian rumah. Kegagalan menguruskan masa dengan bijak akan mengundang tekanan dan menjejaskan kesihatan mental serta fizikal.

Buat warga pendidik pula, perlulah memainkan peranan supaya tidak membebankan pelajar dengan tugasan kursus yang terlampau banyak pada satu-satu masa. Rancang juga penyerahan tugasan kursus untuk pelajar.

Hingga kini, pandemik tidak menunjukkan tanda akan berakhir pada masa terdekat. Norma baharu yang sedang kita lakukan ini pula mungkin perlu penambahbaikan demi kelangsungan jangka masa panjang. Jadi, semua pihak mampu bertindak secara holistik untuk memastikan pengajar dan pelajar sedia berhadapan sebarang situasi dengan efektif supaya dapat mengekalkan kesihatan yang optimum.

Baca juga artikel menarik lain:

Selalu Tekankan Kepentingan Vitamin C, Rupanya Vitamin D Juga Sama Penting!

Konsep ‘RKE’ Sebagai Panduan Mengurus Anak Di Rumah Sepanjang Tempoh PKPB

Sumber daripada: Berita Harian

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement