Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Benarkah Platform Media Sosial Menjadi Trend Baharu Perangkap Mangsa Seksual?

Jangan mudah percaya dan terpedaya dalam alam maya…

Published

on

Pada saat anda membaca artikel ini, anda sedar bahawa anda sedang melayari platform media sosial, dan ia menjadi platform yang paling kerap digunakan oleh majoriti penduduk dunia. Sudah tentu kita faham bahawa media sosial mempunyai kebaikan dan keburukannya sendiri, dan kita yang tentukan sama ada mahu menggunakannya untuk kebaikan atau keburukan. Tapi persoalan bagi sesi Kool Talk kali ini, adakah benar platform media sosial ini merupakan perangkap mangsa seksual?

Baru-baru ini Malaysia dihebohkan dengan berita tentang tuduhan jenayah rogol yang dilakukan oleh seorang pendakwah muda, yang mana dia dikatakan mengumpan mangsanya melalui media sosial. Pada awalnya ia hanya sekadar satu direct message (DM) melalui laman sosial untuk berborak kosong atau bertanya khabar. Kemudian dari DM, pemangsa terus mengajak untuk berjumpa di kedai makan lalu dibawa ke kediamannya. Akhirnya, apabila mangsa bersetuju untuk pergi ke tempat yang mencurigakan, mangsa dirogol.

Apa yang pasti, mereka yang menjadi mangsa kepada jenayah seksual melalui media sosial ini dilihat seperti ‘merelakan’ diri untuk masuk ke perangkap si pemangsa. Sama ada itu benar ataupun tidak, kejadian seperti ini sebenarnya berlaku kepada ramai orang di negara kita sendiri. 

Media Sosial Penuh Dengan Akaun Palsu

Melalui perkongsian bersama Puan Anita Abu Bakar, Presiden dan Pengasas Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) menyatakan bahawa kebanyakan si pelaku adalah kenalan atau rakan kepada mangsa itu sendiri. Peratusan jenayah seksual ini dilakukan oleh mereka yang tidak dikenali mangsa adalah sangat rendah. Selain itu, kebanyakan mangsa pula merupakan gadis remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun dan si pelaku pula majoritinya adalah 18 tahun ke atas.

Menurut Anita, risiko perangkap jenayah seksual adalah tinggi di laman sosial kerana si pelaku boleh menggunakan akaun palsu untuk perangkap mangsa. Si pelaku boleh menjadi sesiapa sahaja untuk memerangkap mangsa, dan mangsa mungkin tidak menyedari perkara ini kerana seperti telah ‘dipukau’ dengan kesempurnaan yang ditunjukkan oleh si pelaku menerusi laman sosial. Selain itu, kepercayaan melalui media sosial juga dapat dibina oleh pemangsa kerana mempunyai banyak masa untuk menyakinkan mangsa dengan janji-janji manis.

Selain itu, turut berkongsi pendapat Encik Mahathir bin Ahmad, Pensyarah Komunikasi Media Baharu, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam menyatakan media sosial ini merupakan satu platform yang penuh kepalsuan. Jika anda perasan, kita akan suka sekiranya posting atau gambar yang dimuat naik itu mendapat banyak likes atau komen. Kemudian bila warganet dah mula minat kita, kita pun rasa seronok. Ini apa yang dilalui oleh influencer.

Kemudian apabila influencer tersebut dikecam, maka mula dia mengeluarkan semula kata-kata kecaman yang seperti tidak mencerminkan dirinya yang sebenar seperti dalam posting sebelum ini. Ini yang dikatakan laman sosial itu penuh kepalsuan dan boleh dipalsukan mengikut kehendak masing-masing. Menurut Mahathir, pengguna harus bijak menilai sama ada seseorang di media sosial itu ikhlas ataupun sekadar meraih populariti.

Ramai Mangsa Takut Untuk Melaporkan

Selain itu, Anita turut memaklumkan sebenarnya ramai mangsa jenayah seksual tidak membuat laporkan polis kerana takut dengan stigma masyarakat. Mereka takut akan dipandang rendah dan hina oleh kenalan-kenalan dan juga keluarga mereka. Perasaan malu dan takut sering menyelubungi mangsa yang akhirnya membuatkan mereka trauma dan seterusnya menjerumus kepada masalah kesihatan mental. Apa yang dibimbangkan adalah, apabila jenayah-jenayah ini tidak dilaporkan, maka ia akan membuatkan si pelaku berasa lebih berani untuk mencari mangsa seterusnya kerana tidak menerima sebarang tindakan.

Akhir sekali, Mahathir turut menasihatkan agar pengguna laman media sosial untuk fahamkan bahawa platform ini sekadar alat ‘escapism’ iaitu alat untuk melarikan diri daripada realiti hidup. Zaman sekarang banyak perkara yang mengundang kepada tekanan hidup. Daripada urusan di sekolah, kolej, mahupun pejabat, kita semua akan mencari keseronokan sementara di media sosial. Mahathir turut mengingatkan bahawa apa sahaja yang memberi keseronokan dengan cepat, ia adalah bersifat sementara. Jadi kita sebagai pengguna bijak harus sentiasa berwaspada semasa melayari laman media sosial.

 

Baca juga artikel menarik lain:

Amira Othman Terkoyak Otot Sampai Air Kencing Bertukar Warna Gelap! Ini Bahaya Sukan Secara Berlebihan

‘Bukan Semua Orang Segar Lepas Minum Kopi’ – Ketahui Cara Elak Terlelap Ketika Memandu

 

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement