Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

9 Kisah Darurat Yang Pernah Terjadi Di Malaysia

Semoga urusan kita semua dipermudahkan!

Published

on

Umum semua tahu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos. Perkara ini dilaksanakan sebagai salah satu langkah proaktif bagi membendung COVID-19 di Malaysia. Sudah tiba masanya kita bersama lakukan apa yang terbaik untuk hentikan penularan wabak Covid-19 ini.

Untuk pengetahuan anda, pengisytiharan darurat kali ini sebenarnya merupakan darurat ke-9 di Malaysia? Mungkin darurat sebelum ini ada yang belum wujud atau terlalu kecil untuk memahami apa itu darurat. Hari ini kami akan kongsikan 9 kisah darurat yang pernah terjadi di Malaysia. Anda dah ready?

Darurat Tanah Melayu (1948-1960)

Darurat pertama ini telah diisytiharkan oleh British di Malaya (Semenanjung Malaysia) dari tahun 1948 hingga 1960. Ianya merupakan salah satu inisiatif bagi menangani pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Perang gerila merupakan sebahagian daripada konflik yang berlaku di antara PKM dan parti haluan kiri yang lain dengan kerajaan British bermula dari penyerahan Jepun pada tahun 1945 sehingga perjanjian damai di antara pihak PKM dan kerajaan Malaysia ditandatangani pada Disember 1989.

Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964)

Darurat yang diisytiharkan akibat konflik dari penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia. Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuat pengisythiharan tersebut apabila tentera Indonesia ceroboh masuk ke sempadan Malaysia. Penentangan ini telah dilakukan oleh Presiden Sukarno kerana cita-cita tingginya menentang penjajahan di Nusantara sebagai perang mengenai masa depan Tanah Melayu, Brunei, Sabah dan Sarawak dan menyalakan semula semangat anti-penjajahan terhalang akibat daripada pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Darurat Sarawak (1966)

Darurat ini terjadi apabila krisis politik yang melibatkan Kerajaan Persekutan dan Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan berlaku. Darurat ini diisytiharkan pada 14 September 1966. bermula daripada tindakan 21 daripada 42 Adun Sarawak membuat undi tidak percaya kepada Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak. Stephen enggan letak jawatan walaupun Gabenor Sarawak, Tun Abang Haji Openg mengarahkan berbuat demikian kerana mendapat memorandum daripada 21 Adun. Hal ini menyebabkan Stephen akhirnya dipecat oleh Gabenor dan Tawi Sli dilantik menjadi Ketua Menteri baru.

Rusuhan Kaum 13 Mei (1969)

Peristiwa 13 Mei yang menjadi sejarah hitam dalam hidup rakyat Malaysia sehingga ke hari ini. Rusuhan tersebut berlaku selepas pilihan raya umum 1969. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan setelah parlimen digantung bagi mengembalikan kestabilan dan keamanan negara. Tragedi ini telah meragut nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969” merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

Darurat Kelantan (1977)

Darurat yang berlaku akibat krisis politik yang melibatkan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir. Sultan Kelantan yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Petra mengisytiharkan darurat tersebut pada 8 November 1977 atas permintaan kerajaan pusat berikutan kebuntuan politik dan berlakunya rusuhan ganas di Kelantan.

Darurat Jerebu (1997, 2005, 2013)

Darurat juga boleh diisytiharkan apabila jerebu melanda negara Malaysia. Darurat jerebu pernah diisytiharkan di beberapa negeri pada tahun yang berbeza iaitu di Sarawak (1997), Klang (2005), dan Muar & Ledang (2013). Walaupun masalah jerebu sering melanda Malaysia, tetapi kebanyakan berjaya dibendung daripada ia semakin merebak ke seluruh Malaysia.

Darurat Parlimen Batu Sapi (2020)

Darurat ini juga melibatkan wabak COVID-19. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi pada 18 November 2020 sekaligus mengekang dan membatalkan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut. Bukan mudah untuk membuat keputusan ini namun ia merupakan jalan yang paling terbaik untuk keselamatan rakyat bukan sahaja di Batu Sapi tetapi di seluruh negara juga.

Darurat Parlimen Gerik Dan DUN Bugaya (2020)

Satu lagi darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun lepas bagi membatalkan PRK di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah pada 16 Disember 2020. Disebabkan pandemik yang masih belum jatuh, Malaysia telah dengar dua kali perkataan darurat dalam masa setahun.

Pengisytiharan Proklamasi Darurat (2021)

Dan yang terakhir buat masa ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 bagi membendung wabak COVID-19. Menurut laporan, ia akan dihentikan lebih awal jika kita berjaya membendung pandemik Covid-19 ini.

Fuh! Bukan mudah ya cabaran pada awal tahun 2021. Ingatkan tahun 2021 kita boleh mulakan dengan lebih selamat namun berikutan jumlah kes yang semakin meningkat, perkataan selamat itu nampak begitu berharga sekali. Apapun, semoga kita semua selamat daripada wabak ini.

 

Baca juga:

Kes Tinggi, Darurat Hingga Ogos Dilaksanakan?

Agong berkuasa untuk masyhur ordinan sepanjang darurat

 

 

 

 

 

 

Sumber: Berita Harian

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement