Connect with us
Kool FM

Semasa & Hiburan

Rumah-Rumah Warisan Melayu Dan Asal Usulnya

Semoga tradisi ini masih kekal untuk dilihat oleh generasi akan datang…

Published

on

Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan khazanah kebudayaan, dan khazanah itu masih boleh kita lihat sehingga ke hari ini. Antara khazanah yang masih gah berdiri di atas tanah adalah rumah-rumah dari masyarakat Melayu terdahulu. Kalau pulang ke kampung tu memang biasanya kita akan nampak rumah-rumah lama dengan ciri-ciri warisan Melayu. Dalam masyarakat Melayu pula bukan ada satu jenis rumah je, tapi pelbagai lagi yang berbeza pada setiap negeri. Jadi kali ni jom kita kenali rumah-rumah warisan melayu serta apakah sejarah di sebalik rumah-rumah ini.

Rumah Limas

Rumah Limas antara yang kita kenali sebagai rumah masyarakat Melayu. Rumah ini banyak didapati di negeri Selangor, Terengganu, dan Johor terutamanya. Rumah yang banyak terdapat di negeri Johor ini merupakan campuran warisan daripada tradisi rumah masyarakat Jawa, Bugis, Banjar, Palembang dan keturunan lain daripada rumpun bangsa Melayu di Kepulauan Melayu. Antara ciri-ciri utama rumah ini adalah bentuk bumbung yang seperti piramid. Perkataan Limas itu sendiri jika dirujuk kepada kamus dewan bererti satu bentuk timba diperbuat dari daun pisang atau upih yang bentuknya serupa dengan bumbung rumah Limas. Dikatakan dari situlah Rumah Limas mendapat nama. Tapi terdapat juga percanggahan lain.

Ada yang mengatakan Limas itu berasal dari perkataan ‘lima,’ iaitu lima perabung dan lima ruang rumah. Jadi nak sedapkan sebutan ia disebut ‘Limas.’ Ada juga yang berpendapat Limas melambangkan lima emas, berdasarkan lima penjuru bumbung rumah tersebut. Ia juga membawa pengertian lima kemuliaan iaitu keagungan, kedamaian, kesopanan, keamanan, dan kesejahteraan. Begitu banyak pendapat, tapi yang penting ciri-ciri Rumah Limas masa kini telah banyak yang dimodenkan untuk disesuaikan dengan keperluan masa kini.

Rumah Tiang 12

Rumah Tiang 12 hanya boleh didapati di beberapa kampung dan bandar Kota Bharu sahaja. Rumah tradisional ini masih ada di Kelantan tetapi agak sukar untuk ditemui. Kalau ada pun, rumah tu dah berusia lebih 100 tahun. Nama rumah ini sememangnya berasal dari jumlah tiang yang terdapat di ‘Rumah Ibu’ iaitu sebanyak enam tiang serambi dan enam tiang panjang.

Image via:WordPress

Rumah Tiang 12 ini kebiasaannya dihuni oleh golongan kaya dan elit kerana ruang pada rumah ini yang besar. Ukiran rumit pada dinding rumah melambangkan status tinggi si pemilik rumah. Rumah ini mempunyai tiga modul iaitu ‘Rumah Ibu,’ ‘Rumah Tengah,’ dan ‘Rumah Dapur.’ Rumah ibu merupakan satu ruang yang luas untuk menerima para tetamu. Ruang Tengah pula menempatkan bilik-bilik, dan Ruang Dapur sebagai tempat memasak. 

Rumah Kedah

Iya nama pun Rumah Kedah, jadi asal usulnya juga dari kedah dan hanya terdapat di kedah. Kalau nak tengok Rumah Kedah tradisional ni dengan lebih dekat, bolehlah ke rumah ‘Tok Su’ yang terletak berhadapan dengan Wisma Darul Aman di Alor Setar. Dekat Kedah sekarang dah kurang rumah-rumah yang macam tu sebab dah dirobohkan dan diganti dengan rumah-rumah moden.

Rumah tradisional lama di Kedah dihiasi indah dengan ukiran-ukiran yang terdapat pada dinding luaran rumah. Ukiran-ukiran ini juga mengambarkan betapa tingginya mutu kesenian orang-orang Melayu dahulu. Pembinaan Rumah Kedah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan juga kebudayaan yang mana mereka tonjolkan pada ukiran-ukiran pada rumah mereka.

Rumah Kutai

Rumah Kutai ni pun special sikit sebab hanya boleh ditemui di negeri Perak sahaja. Maksud Rumah Kutai (atau disebut juga Kotai) adalah lama atau tua, dan memang tak dapat dinafikan rumah ini merupakan satu-satunya rumah tradisional di Perak yang masih didiami penduduk tempatan sejak 200 tahun dahulu.

Keunikan rumah ini adalah dari segi kehalusan ukiran yang terdapat pada pintu, bukaan tingkap, dan dinding. Ciri-ciri seni binaan Rumah Kutai mempunyai pengaruh dari senibina Rumah Aceh dan Rumah Adat Bugis dari Sumatera. Namun begitu, ia tetap disesuaikan dengan identiti penduduk negeri Perak. Jadi mungkinkah perkataan ‘Otai’ itu berasal dari perkataan ‘Kotai’ yang bermaksud lama?

Rumah Minangkabau

Rumah Minangkabau antara rumah yang mempunyai ciri binaan paling obvious, iaitu pada bumbungnya. Asal usul rumah ini sememangnya datang dari masyarakat Minang yang berasal dari Kabupaten Siak, di provinsi Riau, Indonesia. Rumah ini juga dikenali dengan nama Rumah Gadang, yang bermaksud ‘Rumah Besar.’

Image via:Blogspot

Kini di Malaysia, rumah Minangkabau ini menjadi identiti penduduk Negeri Sembilan yang mengamalkan adat perpatih. Walaupun ia berasal dari tanah seberang yang di bawa ke tanah Melayu beratus tahun dahulu, rumah tradisional yang berada di Negeri Sembilan ini tetap membawa identiti yang tersendiri. 

Rumah Serambi

Rumah Serambi merupakan rumah tradisional bagi masyarakat Melayu di negeri Pahang. Rumah Serambi kebiasaannya berbumbung panjang dan keunikannya boleh dilihat menerusi teknik pembinaan yang dibina tanpa menggunakan sebarang paku pada dinding dan lantai. Selain itu, keistimewaannya juga terletak pada lebihan rasuk atau bahan binaan kediaman kayu yang berfungsi sebagai pengikat rangka rumah bagi tujuan penambahan ruang. Dari sini pun boleh nampak masyarakat Melayu waktu itu memikirkan perancangan untuk meluaskan rumah pada masa akan datang kalau keluarga dah semakin besar. 

Rumah Serambi juga dikatakan mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri. Kedudukannya yang lebih tinggi daripada lantai dan strukturnya yang kuat membolehkan tuan rumah duduk dengan selamat, serta boleh mengelak dari serangan musuh dari bahagian bawah.

Baca juga artikel menarik lain:

Asal Usul Tradisi ‘Pindah’ Rumah Di Nusantara Sehingga Ke Amerika Syarikat!

Sejarah Dan Asal Usul Kepulauan Orang Melayu Di Australia

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement