Connect with us
Kool FM

Semasa & Hiburan

Lepas Suntik Vaksin Dah Tak Perlu Ikut SOP? Ini Penjelasan Khairy Jamaluddin

Menurut Khairy Jamaluddin, kalau semua rakyat Malaysia terima suntikan vaksin ini, kita mungkin boleh kembali kepada kehidupan normal…

Published

on

Mengikuti rapat perkembangan vaksin COVID-19 yang bakal tiba ke negara kita pada 21 Februari ini, mungkin ia sedikit sebanyak memberi sinar harapan buat rakyat Malaysia dalam memulihkan negara daripada wabak penyakit ini. Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebanyak 312,390 dos suntikan vaksin akan mula diagihkan kepada rakyat dalam fasa pertama bermula 26 Februari ini.

Dalam temubual bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, beliau menjelaskan vaksin yang diperolehi daripada syarikat Pfizer ini akan mula disuntik kepada lebih kurang 500,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai sektor. Ini satu langkah yang baik kerana petugas barisan hadapan terutamanya di sektor kesihatan dan keselamatan amat terkesan dengan wabak ini dan mereka memerlukan pelindungan dengan kadar segera.

SOP Akan Dikurangkan Secara Berperingkat

Mungkin ada di antara kita yang tertanya-tanya, adakah dengan hadirnya vaksin ini secara automatik prosedur operasi standard (SOP) akan ditamatkan. Khairy menjelaskan bahawa dalam masa terdekat pihak kerajaan masih belum boleh membuat keputusan untuk kita secepat mungkin kembali seperti keadaan biasa. Namun, beliau nyatakan sekiranya seramai mungkin rakyat Malaysia dapat disuntik, peratusan untuk kita kembali normal itu mungkin tinggi. 

Memberi contoh negara lain, Khairy menyatakan negara yang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 pun masih lagi mengekalkan SOP sedia ada.

“Pihak kerajaan juga mensasarkan sebanyak 80 peratus penduduk Malaysia dapat disuntik dengan vaksin tersebut, dengan harapan kita dapat mencapai kepada tahap imuniti kelompok,” jelas Khairy.

Secara hipotesisnya, semakin ramai yang disuntik dengan vaksin COVID-19, maka semakin susah virus tersebut dapat menjangkiti orang lain. Kaedah ini sebenarnya pernah digunakan satu ketika dahulu semasa penyakit seperti demam campak, measles, rubella dan sebagainya menjangkiti golongan kanak-kanak. Apabila kerajaan membuat suntikan vaksin terhadap kanak-kanak seramai yang mungkin, hasilnya tiada lagi penyakit-penyakit tersebut merebak secara berleluasa. Itulah hasil yang ingin kerajaan dapatkan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini. 

Tiga Fasa Agihan Suntikan Vaksin

Ini pun kita kena tahu juga sebab takut ada yang gelisah dan tertanya-tanya bila giliran kita untuk menerima vaksin ini. Pemberian vaksin COVID-19 akan terbahagia kepada tiga fasa iaitu:

  1. Fasa pertama dari bulan Februari hingga April akan melibatkan petugas barisan hadapan.
  2. Fasa kedua dari bulan April hingga Ogos pula akan diberikan kepada warga emas dan juga mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Mereka merupakan golongan yang berisiko tinggi jika dijangkiti COVID-19.
  3. Akhir sekali, fasa ketiga bermula Mei hingga hujung tahun ini akan mula diberikan kepada golongan lain yang mempunyai risiko rendah jika dijangkiti, dan berumur lebih 18 tahun.

Sementara itu, Khairy memaklumkan bahawa pihaknya akan melihat juga data-data yang akan diterima nanti dan melihat sejauh mana program imunisasi tersebut berkesan. Manakala, menerusi aplikasi MySejahtera, pihaknya juga akan memantau jumlah rakyat Malaysia yang sudah mendaftar untuk terima suntikan vaksin COVID-19. 

Boleh Beli Ke Vaksin COVID-19 Ni?

Persoalan ini mungkin ditanya oleh mereka yang mahukan vaksin ini dengan cepat. Mungkin dah tak sabar untuk melindungi diri daripada wabak penyakit tersebut. Bagaimanapun, Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menyatakan bahawa vaksin COVID-19 di negara ini hanya boleh didapati menerusi kerajaan sahaja. Maknanya tiada pihak lain yang boleh membeli vaksin ini di Malaysia selain kerajaan. 

Nak dapatkan vaksin ini dengan cepat secara beli pun tak boleh, jadi kita tunggu sajalah. Tambah Khairy lagi, tidak ada mana-mana vaksin yang boleh dibeli dan dijual oleh klinik atau hospital swasta, melainkan ia merupakan vaksin daripada pihak kerajaan yang disalurkan kepada pihak swasta untuk diagihkan kepada rakyat. 

Sekiranya anda ingin dapatkan suntikan vaksin di klinik atau hospital swasta, pastikan ia sudah berdaftar dibawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Pihak kerajaan juga akan menyenaraikan pusat pemberian vaksin untuk rujukan kita semua. Jadi tak perlu risau dengan tempat yang akan kita peroleh vaksin itu nanti.

Program Suntikan Vaksin Secara Sukarela Dan Tiada Paksaan, Namun…

Mengulas mengenai kelompok anti vaksin, Khairy menjelaskan bahawa program suntikan vaksin ini tiada paksaan kepada sesiapa. Kerajaan juga tidak akan kenakan sekatan kepada mereka yang enggan menerima vaksin. Namun tetap menjadi harapan pihaknya untuk melihat seramai mungkin rakyat secara sukarela daftar dan menerima suntikan vaksin ini. Oleh sebab itu, untuk meningkatkan kenyakinan rakyat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi rakyat pertama Malaysia yang menerima vaksin COVID-19. 

“Rakyat kedua yang akan menerima suntikan vaksin adalah Ketua Pengarah Kesihatan Kita sendiri iaitu Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Kemudian akan dikuti oleh petugas barisan hadapan yang terdiri daripada doktor dan jururawat hospital,” tambahnya.

Secara tak langsung, ia memberi mesej jelas bahawa suntikan vaksin ini adalah diyakini kerana telah disuntik kepada golongan profesional dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Jadi dengan penjelasan daripada menteri kita sendiri, semoga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini menjadi langkah untuk pulihkan keadaan negara seperti sedia kala. Tapi kalau nak minta SOP terus dimansuhkan lepas dah terima suntikan, memang tak bolehlah jawabnya. Kita kurangkan SOP yang ada secara berperingkat, dan sama-sama jayakan program suntikan vaksin ini yang bakal berlangsung sepanjang tahun ini. Percuma jelah vaksin ni!

Kalau terlepas perbincangan topik ini, klik link ini untuk dengar lebih lanjut.

Baca juga artikel menarik lain:

[VIDEO] “Rumah Nenek Aku Yang Jatuh Tu” – Tanah Runtuh Di Pasir Mas, Empat Buah Rumah Musnah!

Perdana Menteri Orang Pertama Disuntik Vaksin, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Bermula 26 Feb Ini

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement