Connect with us
On Air Di Kool

Semasa & Hiburan

Kisah Seorang ‘Pembunuh Bersiri’ Menjadi Penyanyi

Dah bunuh orang lepas tu jadi penyanyi pula…

Published

on

Kisah pembunuhan ini berlaku di sebuah bandar kecil di Jakarta selatan, Indonesia. Dilaporkan seorang lelaki bernama Very Idham Henyansyah, atau lebih dikenali dengan nama Ryan, telah melakukan jenayah bunuh di mana dilaporkan sebanyak 11 orang menjadi mangsanya. Siri pembunuhannya berakhir selepas beberapa bag yang berisi kepala dan cebisan badan manusia dijumpai di bandar tersebut. Identiti mangsa yang dijumpai di dalam bag tersebut adalah Heri Santoso, seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun.

Selepas polis pergi ke rumah Heri, mereka menemui satu nota yang mempunyai kaitan dengan Ryan. Hasil siasatan polis selama tiga hari mendapati bag-bag tersebut adalah milik Ryan yang menetap di sebuah pangsapuri tidak jauh dari lokasi bag-bag tersebut dijumpai. Sewaktu ditangkap, Ryan sedang membeli-belah dengan menggunakan kad kredit milik Heri. Ryan pada awalnya hanya mengaku membunuh Heri Santoso, tetapi selepas siasatan lanjut, Ryan mengaku telah membunuh beberapa orang lagi di bandar Jombang.

Awal Kehidupan Ryan Dalam Komuniti Warak

Semasa disoal oleh pakar psikiatri, Ryan banyak menyalahkan kehidupan lampaunya bersama keluarganya. Dia menyatakan trauma yang dialaminya semasa membesar menjadi punca dia melakukan jenayah bunuh. Ryan dilahirkan pada 1 Februari 1978 dan membesar dalam komuniti yang boleh dikatakan warak. Kebanyakan orang-orang di situ bekerja sebagai peladang. 

Zaman kecil Ryan dikatakan sebagai seorang yang pendiam dan lebih suka menyendiri. Dia kurang bercakap dengan adik-beradiknya serta ibu bapanya. Ryan menyatakan dia tidak pernah merasakan bahagia sewaktu zaman kanak-kanaknya.

Semasa berumur 10 tahun, Ryan menunjukkan tanda-tanda tekanan mental dan mula bertindak ganas. Dia mula melawan dan marah-marah jika hatinya disakiti. Memang tiada tempat untuknya mengadu, maka apa yang boleh dia lakukan hanya melepaskan amarahnya sahaja.

Dikatakan Sebagai Seorang Remaja Berjiwa Kacau

Semasa umurnya 16 tahun, Ryan memasuki alam persekolahan menengah di Jombang. Ternyata sekolah memberikannya ketenangan yang tidak dapat diperolehinya di rumah. Pengetua sekolah juga menyatakan bahawa Ryan seorang pelajar yang baik, rendah diri dan pandai. Dia tidak menimbul sebarang masalah di sekolah. Jadi berita tentang Ryan sebagai seorang pembunuh betul-betul mengejutkan bekas Pengetua sekolahnya itu.

Dalam masa yang sama ketika usia remajanya, Ryan mengakui bahawa dia merupakan seorang homoseksual. Semasa di sekolah, dia sering diketepikan oleh pelajar lain kerana berpewatakan lembut seperti perempuan. Dia juga menyatakan lebih senang berkawan dengan perempuan berbanding lelaki. 

Menurut Ryan, dia sangat rapat dengan salah seorang guru agama di sekolahnya dan dalam diam menyukai guru tersebut. Namun, Ryan menemui kekecewaan selepas mengetahui guru tersebut bakal bernikah dengan gadis pilihan. Selepas dikecewakan, Ryan yang penuh rasa marah mencari tempat untuk melepaskan amarahnya. Selepas setahun melayan perasaan kecewa, Ryan melakukan pembunuhan pertamanya.

Kehidupan Ibarat Seorang Selebriti Selepas Membunuh

Semasa di dalam penjara, Ryan menceritakan kisah hidupnya dengan kata-katanya sendiri yang ditulis dalam bentuk autobiografi yang bertajuk ‘The Untold Story of Ryan’. Dia menceritakan segala butir-butir pembunuhan yang pernah dilakukannya, termasuk lakaran tempat dia menanam mangsa yang dibunuhnya. Dengan hasil penulisannya ini, dia merupakan seorang pembunuh yang menjadi selebriti selepas autobiografinya menjadi popular.

Ryan juga ada menerima tawaran untuk merakamkan album kerana minatnya terhadap bidang nyanyian sejak kecil. Albumnya berjudul ‘Persembahan Terakhir’ telah menjadikannya seorang penjenayah sensasi di Indonesia pada waktu itu dan dikenali sebagai ‘Penyanyi Pembunuh Bersiri’. Dia dikatakan suka dengan populariti yang diterimanya sepanjang perbicaraan berjalan.

Pada tahun 2009, selepas perbicaraan selesai, Ryan dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh Heri Santoso. Walaupun beberapa rayuan telah dibuat olehnya, mahkamah tetap menjatuhkan hukuman mati terhadap Ryan.

 

Baca juga:

Disebabkan Dendam Kerana Didera Ibu Bapa, Lelaki Ini Menjadi Pembunuh Bersiri!

Berang Mungkir Janji, Tukang Gunting Rambut Naik Gila Tembak Pelanggannya

 

 

 

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement