Connect with us
Kool FM

Semasa & Hiburan

Kisah Penuh Cemas Al-Maunah Mengganas Dan Tumpas Di Bukit Jenalik

Kumpulan Al-Maunah dikatakan terlibat dalam misi menggulingkan kerajaan Malaysia satu ketika dahulu…

Published

on

Sekitar tahun 2000, negara kita pernah digegarkan dengan satu insiden yang agak mengejutkan, iaitu kemunculan satu organisasi militan yang dikenali dengan nama Al-Maunah. Apa tujuan Al-Maunah dan siapa dalang di sebalik organisasi militan ini? Kalau nak tahu Al-Maunah ini merupakan sebuah organisasi pengganas militan yang bertapak di Malaysia dan dikenali dengan kisahnya yang melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah. Dikatakan pada tanggal 2 Julai tahun 2000, kumpulan ini berjaya melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjantaan selepas berjaya memperdaya pegawai kem tersebut. Kemudian kumpulan ini membawa kesemua senjata yang dicuri itu dan mendirikan sebuah pangkalan rahsia di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Bukit Jenalik, Sauk, Perak.

Secara ringkasnya, nama penuh organisasi ini dikenali sebagai Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Maunah. Ia merupakan satu pertubuhan yang terlibat dalam ilmu persilatan yang turut menggunakan tenaga dalaman dan juga mempelajari ilmu perubatan tradisional Islam. Tapi apa yang dimaksudkan dengan ‘Al-Maunah’? Dipercayai kononnya ‘Maunah’ bermaksud sesuatu yang amat luar biasa akan berlaku kepada orang-orang Islam yang dalam golongan sederhana. Pertubuhan ini juga dikatakan mempunyai keahlian seramai 1,000 ahli yang berpusat di Malaysia, Brunei, Singapura, Mesir dan Arab Saudi. 

Ketua Militan Al-Maunah Dan Misi Gulingkan Kerajaan

Walaupun pertubuhan ini dikatakan mempunyai ahli seramai 1,000 orang, tetapi mereka yang terlibat dalam misi menggulingkan kerajaan Malaysia adalah seramai 29 orang sahaja yang dipimpin oleh Mohamed Amin bin Mohamed Razali. Ketua militan ini dikatakan sangat bijak menyakinkan ahli kumpulannya untuk menyertai misi tersebut dan memberitahu dia memiliki ilmu tertentu dan boleh membuatkan pengikutnya kebal jika diserang. 

Kumpulan ini turut termasuk seorang Mejar daripada Tentera Darat Malaysia. Semasa mereka membuat pencerobohan ke kem Rejimen Askar Wataniah, dikatakan mereka lengkap berpakaian seperti pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak. Boleh nampaklah yang kumpulan ni mempunyai perancangan rapi untuk melakukan pencerobohan tersebut. Nak tahu berapa banyak senjata mereka ambil? Sebanyak 114 laras senjata api pelbagai jenis bersama lebih 18,000 butir peluru dilarikan. Memang betul-betul nak berperang!

Di Bukit Jenalik, mereka mendirikan kubu mereka sendiri dan melakukan latihan dengan senjata yang dicuri. Bunyi tembakan yang jarang di dengar oleh penduduk sekitar akhirnya telah menarik perhatian pihak polis. Tetapi kumpulan tersebut tetap membuat persediaan untuk menjayakan misi mereka, temasuklah mengumpulkan bekalan makanan dan membawanya ke kubu mereka di Bukit Jenalik. 

Bukit Jenalik Dikepung!

Seramai 300 orang anggota tentera dihantar ke kawasan persembunyian kumpulan itu bagi mengepung dan menyekat pergerakan mereka. Kemudian PDRM pula telah ditugaskan untuk mengambil alih operasi tersebut, dan sepasukan anggota polis dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Maunah. Namun dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah bin Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta seorang penduduk kampung bernama Jaafar bin Puteh dan seorang anggota komando ATM, Truper Matthews anak Medan, telah dijadikan tebusan oleh Al-Maunah.

Selepas kumpulan itu mendapatkan tawanan, melalui radio komunikasi, mereka memberitahu kepada pihak polis bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir untuk melepaskan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi. Memang dengar macam satu plot dalam sebuah filem, tapi ianya benar-benar berlaku satu ketika dahulu.

Anggota Militan Berjaya Dipujuk Untuk Serah Diri

Pada pagi 5 Julai, seorang anggota Al-Maunah iaitu Abu Bakar Ismail telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Sebagai tindak balas, Amin dan orang-orangnya membalas tembakan. Tetapi kemudian keesokan harinya pihak polis menggunakan pendekatan psikologi dengan memasukkan aspek keagamaan, emosi dan kekeluargaan untuk memujuk ahli kumpulan Al-Maunah menyerah diri. Hasilnya, dua anggota kumpulan tersebut akhirnya menyerah diri. Menjelang tengah hari pula, kira-kira sembilan lagi ahli kumpulan telah berjaya dipujuk untuk menyerahkan diri. 

Sebelum Amin berjaya ditumpaskan, dia sempat berhadapan dengan seorang pegawai tentera iatu Leftenan Jeneral Dato’ Zaini Mohd Said dan cuba untuk menembaknya dari jarak dekat. Tetapi Zaini bertindak tangkas dengan menepis laras senjata Amin dan tembakan tersebut terkena salah seorang anggota militan. Pergelutan kira-kira seminit itu akhirnya menumpaskan ketua militan kumpulan Al-Maunah. Kejayaan tersebut juga menandakan tamatnya operasi selama empat hari pasukan polis dan anggota tentera di Bukit Jenalik.

Bagaimanapun, krisis tersebut telah mengorbankan nyawa dua anggota keselamatan, iaitu Sanghadevan dan Truper Matthews. Kedua-duanya merupakan anggota keselamatan yang telah dijadikan sebagai tebusan oleh kumpulan itu. Mereka juga dikatakan telah diseksa dengan kejam semasa menjadi tebusan. Apa-apa pun, tragedi ini disifatkan sebagai satu ancaman besar dalam negara dan tidak terlintas dalam fikiran ia akan berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan. 

Baca juga artikel menarik lain:

Bermula Dengan Kematian Gadis Kecil, Patung Seram Okiku Dikatakan Mampu Tumbuh Rambut

Pembunuhan Canny Ong Adalah Tanpa Motif, Ahmad Najib Disyaki Sebagai Penjenayah Psychopath!

Sumber daripad: Wikipedia & Sinar Harian

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement