Connect with us
Kool FM

Semasa & Hiburan

Kereta-Kereta Proton Yang Pernah Muncul Dalam Filem Dan Rancangan TV Luar Negara

Inilah kereta-kereta Proton yang pernah ‘berlakon’ di luar negara…

Published

on

Walaupun bukan semua rakyat Malaysia menggunakan kereta Proton, namun ia tetap menjadi jenama kereta kebanggaan rakyat Malaysia. Kalau anda nak tahu, kereta-kereta jenama Proton juga pernah membuat kemunculan dalam beberapa filem dan rancangan televisyen antarabangsa. Kalau nampak pelakon Malaysia berlakon dalam filem Hollywood pun kita dah bangga, inikan pula ternampak kereta buatan Malaysia dalam produksi luar negara. Jom tengok kereta Proton yang manakah pernah ‘berlakon’ di luar negara.

Proton Saga – Mr. Bean

Yang ini mustahil untuk rakyat Malaysia tak tahu, Proton Saga pernah muncul dalam salah satu episod siri televisyen Mr. Bean satu ketika dahulu. Mungkin generasi terkini yang tidak membesar dengan menonton Mr. Bean tak tahu. Rancangan yang sedia popular di banyak negara ketika itu tentu melonjakkan lagi imej Proton Saga yang muncul sebagai ‘cameo’ pada waktu itu. 

Proton Saga 1.5 SE – Fifth Gear

Rancangan automotif ini pernah popular satu ketika dahulu dalam kalangan rakyat Malaysia. Siapa yang mengikuti rancangan ini, tentu ingat lagi satu episod yang menampilkan Proton Saga 1.5 SE 1991 sebagai kenderaan untuk diuji. Menerusi video yang dikongsikan, pengacara Tim Shaw dilihat menukar BMW M3 E46 miliknya untuk mencuba Proton Saga bagi tempoh seminggu. Walaupun usia Proton Saga berkenaan sudah mencecah 20 tahun, ia tidaklah terlalu teruk untuk dipandu. 

Proton Satria GTi – Fat Pizza

Satu ketika dahulu Proton Satria GTi ini pernah menjadi kegilaan golongan-golongan muda untuk memilikinya. Mungkin kerana bentuknya yang sporty serta sebagai jentera yang digunakan dalam perlumbaan, ia menjadi kereta idaman pada ketika itu. Tapi jangan tak tahu, kereta ini juga pernah menjadi salah satu ‘pelakon’ dalam sebuah filem terbitan produksi di Australia. Tajuk filemnya adalah ‘Fat Pizza’ yang mungkin menjadi filem kurang dikenali di Malaysia. 

Proton Satria Neo – Top Gear Australia

Sebuah lagi rancangan automotif yang diterbitkan di Australia, memaparkan Proton Satria Neo sebagai kenderaan yang diuji. Walaupun angka orang yang membeli dan menggunakannya tidaklah besar, sejak Proton Wira dieksport ke pasaran Australia pada tahun 1995, Proton menjadi satu jenama yang tidak terlalu asing di negara itu. Jadi, pada tahun 2008, Proton Satria Neo membuat penampilan dalam rancangan Top Gear di sana, ketika The Stig memandu versi standard kereta berkenaan di dalam litar dalam satu episod rancangan itu. Kena ‘lanyak’ habis kereta tu.

Proton Gen2 – Yaprak Dökümü

Bukan setakat dalam filem-filem omputih je kereta Proton digunakan, dalam sebuah filem Turki ini juga Proton pernah membuat kemunculan. Kereta Proton Gen2 dilihat digunakan beberapa kali oleh pelakon utama dalam cerita Yaprak Dökümü, iaitu sebuah siri televisyen yang pernah menang anugerah di sana. Kira untunglah juga kereta jenama Proton dapat dilihat dalam kaca televisyen di Turkin. Lagipun, jenama Proton tidaklah terlalu asing di Turki kerana beberapa model sebelum Proton Gen2 sudah dipasarkan di sana.

Proton Perdana V6 – Jaggubhai

Selepas Turki, kita beralih pula ke filem Tamil. Rasanya memang ramai tak tahu Proton Perdana V6 pernah muncul dalam sebuah filem Tamil yang berjudul Jaggubhai (2008). Dalam filem tersebut turut kelihatan kereta Perodua yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan. Dikatakan pengambaran yang menggunakan kereta tempatan dijalankan di Malaysia. Selain negara kita, filem ini turut menjalankan pengambaran di Bangkok dan Chennai. Kira okay lah babak yang shooting dekat Malaysia mereka gunakan kereta tempatan.

Proton Wira – Battle of the Damned

Filem ini dikatakan melakukan pengambaran di Malaysia sekitar tahun 2013. Berbeza dengan kemunculan kereta Proton dalam filem-filem lain, untuk filem ini Proton Wira dilihat menjadi penghias bagi satu babak yang dilakonkan oleh Dolph Lundgren. Proton Wira hanya kelihatan untuk satu tempoh yang singkat, dan dengan keadaan kereta yang tidak sempurna. Jadi mungkin orang Malaysia sahaja yang perasan Proton Wira dalam babak tersebut.

Proton Saga Iswara Aeroback – Power Rangers Jungle Fury

Yang terakhir dalam senarai, jangan tak tahu kereta nasional Malaysia pernah buat kemunculan dalam cerita Power Rangers. Peh dalam Power Rangers pun ada juga. Proton Saga Iswara Aeroback tampil dalam satu babak pergaduhan dalam siri Power Rangers Jungle Fury yang dirakamkan di Australia dan New Zealand. Cerita tersebut keudara pada tahun 2008.

Jadi itulah sedikit sebanyak kereta jenama Proton yang pernah muncul dalam filem atau rancangan produksi luar negara. Sebenarnya banyak lagi kemunculan kereta Proton dalam filem luar negara, dan ini hanya sebahagian sahaja. Kalau anda tahu, jom kongsikan dengan pembaca lain filem atau rancangan televisyen luar negara apa lagi yang memaparkan kereta Proton.

Baca juga artikel menarik lain:

Fakta Seram Tentang Kubur ‘Vampire’ Yang Berjaya Ditemui!

Asal Usul Kereta Pertama Malaysia Dan Dari Mana Datangnya Nama Proton Saga

 

Sumber daripada: Paultan

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement