Connect with us
Kool FM

Semasa & Hiburan

Kenapa Malcolm X Dibunuh? Ini Kisah Kontroversi Kematiannya…

Dibunuh kerana mereka yang telah berjuang bersama dengannya juga turut melihat Malcolm X sebagai satu ancaman…

Published

on

Bagi mereka yang tinggal di Amerika Syarikat tentu kenal dengan seorang tokoh pejuang hak sivil dan juga aktivis yang menolak diskriminasi terhadap masyarakat African-American. Di Malaysia juga, nama Malcolm X tidak asing kerana beliau juga dikenali sebagai pejuang penyebaran agama Islam di Amerika. Beliau dilihat begitu berpengaruh kerana karisma yang ditunjukkan dapat menyakinkan ramai pihak (masyarakat African-American terutamanya) untuk menyertai pejuangannya. Dan mungkin disebabkan itu juga, ramai pihak yang cuba untuk menjatuhkannya. Apa yang mengejutkan lagi adalah mereka yang telah berjuang bersama dengannya juga turut melihat Malcolm X sebagai satu ancaman.

Membesar Sebagai Budak Liar

Zaman kanak-kanak Malcolm tidak mengambarkan zaman dewasanya yang penuh masyhur dan personalitinya yang dikagumi ramai. Beliau dilahirkan pada 19 Mei 1925 di Omaha, Nebraska. Namanya ketika lahir pula adalah Malcolm Little, dan keluarga Little mempunyai lapan orang anak termasuk Malcolm. Bapanya, Earl Little merupakan seorang paderi pembaptisan dan juga penyokong tegar Nasionalis Kulit Hitam, Marcus Garvey. Disebabkan itu, keluarganya sering menerima kecaman dan ancaman bunuh terutamanya daripada organisasi kulit putih dan memaksa mereka sekeluarga untuk hidup berpindah-randah.

Tak lama kemudian, bapanya mati dilanggar sebuah kereta di bandar. Polis mengatakan ianya satu kes kemalangan jalan raya, tetapi keluarga Malcolm tahu ianya satu kes pembunuhan. Selepas itu kehidupan mereka sekeluarga melarat dan hidup dalam kemiskinan sehinggakan mereka hanya mampu mengalas perut dengan memakan daun dandelion. Kemudian ibunya pula dimasukkan ke hospital mental selepas disahkan mengalami kemurungan dan sakit jiwa. Adik-beradik Malcolm pun terpisah selepas itu. Ada yang diletakkan di rumah anak yatim berasingan dan juga ada yang dijaga oleh keluarga angkat.

Malcolm yang pada awalnya merupakan seorang pelajar yang cemerlang bertukar menjadi liar. Beliau amat terkesan dengan komen yang diberikan oleh gurunya bahawa dia tidak akan dapat menjadi seorang peguam dan hanya layak menjadi tukang kayu. Selepas itu beliau hilang minat terhadap pendidikan formal dan mula berjinak dalam dunia jenayah. Pada tahun 1936, beliau dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah memecah masuk ke dalam sebuah rumah.

Mengenali ‘Nation Of Islam’

Semasa di dalam penjara itulah dia menemui abangnya, Reginald yang dipenjarakan pada tahun 1948 dan sering bercakap tentang dirinya yang telah memeluk Islam. Reginald juga mengajak Malcolm untuk turut serta di dalam sebuah organisasi yang dikenali sebagai Nation of Islam (NOI). Daripada situlah beliau mula minat untuk mengetahui lebih lagi tentang ajaran yang dibawa oleh NOI tentang perjuangan kulit hitam di Amerika serta diselitkan elemen Islam yang dibawa oleh Elijah Muhammad.

Ajaran Elijah dilihat agak ekstrimis. Elijah mempercayai bahawa mereka yang berkulit putih akan menggunakan apa jua cara sekali pun untuk menghalang bangsa Afrika-Amerika daripada memperkasakan diri dalam pelbagai bidang termasuklah politik, ekonomi dan juga sosial. Selain itu, Elijah juga memperjuangkan hak untuk bangsa Afrika-Amerika mempunyai negara merdeka sendiri yang terpisah daripada masyarakat kulit putih.

Malcolm mula menyertai NOI sejak dari dalam penjara lagi. Beliau berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Elijah Muhammad itu. Setelah memeluk Islam, Malcolm Little telah menukar namanya kepada Malcolm X, dan simbol X itu sebagai penolakan konsep penghambaan. Beliau turut meninggalkan amalan hidup orang barat seperti merokok, meminum arak, memakan makanan haram untuk memenuhi tuntutan agama. Semasa dalam penjara, beliau banyak menghabiskan masa membaca buku di perpustakaan penjara untuk menambah ilmu tentang Islam dan juga mengasah kemahiran forensik dan menyertai kelas perdebatan.

Baca juga: Asal Usul Kereta Pertama Malaysia Dan Dari Mana Datangnya Nama Proton Saga

Perjuangan Bersama NOI

Selepas bebas dari penjara, dengan kepintaran dan kepetahan yang ditunjukkannya, Malcolm X dilantik menjadi wakil kebangsaan dan jurucakap bagi pihak NOI. Disebabkan karisma, semangat dan kenyakinannya, beliau berjaya menarik lebih ramai lagi ahli baharu untuk menyertai NOI. Dari 500 ahli pada tahun 1952 kepada lebih 30,000 ahli pada tahun 1963. Ia menjadikan Malcolm X sebagai subjek utama oleh pihak-pihak media. Beliau turut muncul di dalam sebuah program bersama Mike Wallace dalam rancangan “The Hate That Hate Produced.” Semakin popularitinya meningkat, beliau secara tidak langsung telah menenggelamkan nama mentornya, iaitu Elijah.

Terdapat segelintir pihak di dalam NOI yang kurang senang selepas Malcolm X menemui kemasyhurannya dan menjadi lebih terkenal daripada pemimpin NOI. Selepas NOI semakin berkembang besar dan berada di dalam radar pihak kerajaan, FBI mula mengintip pergerakan organisasi ini. Terdapat juga FBI yang menyusup masuk ke dalam NOI dan menyamar menjadi sebahagian ahli dan berpura-pura menjadi pengawal keselamatan Malcolm X.

Pada tahun 1963, Malcolm X dapat tahu bahawa mentornya, Elijah mempunyai hubungan sulit dengan enam orang wanita sehingga menghasilkan anak tidak sah taraf. Hal ini tentunya menghancurkan kepercayaan Malcolm X terhadap organisasi yang mengubah hidupnya itu. Elijah meminta Malcolm X untuk merahsiakan hal tersebut daripada pengetahuan umum. Malcolm X mula rasa kesal terhadap NOI kerana merasakan organisasi itu hanya berlandaskan penipuan.

Perjuangan Baharu Malcolm X

Pada bulan Mac 1964, beliau meninggalkan NOI dan menubuhkan satu organisasi baru iaitu The Muslim Mosque, Inc. Beliau tidak akan diam dengan penipuan yang dibawa oleh Elijah Muhammad. Pada tahun yang sama juga beliau pergi menunaikan haji. Ibadah haji tersebut telah memberikan semangat baru buat Malcolm X dan selepas daripada itu beliau mengikuti ajaran Sunni dan menukar namanya kepada el-Hajj Malik el-Shabazz.

Semasa di Mekah, buat pertama kalinya beliau berkongsikan pandangannya mengenai hak sivil kepada orang yang berlainan bangsa dan budaya. Respon yang diterimanya amat positif sehinggakan beliau mula menerima orang yang berkulit putih juga adalah sebahagian saudaranya. Sekembalinya beliau ke Amerika, perjuangannya yang sebelum ini hanya mengfokuskan kepada perjuangan bangsa Afrika-Amerika, telah berubah sama sekali.

Beliau mula mengfokuskan perjuangan sivilnya kepada integrasi antara kaum. Ianya dilihat lebih selari dengan ajaran agama Islam yang tidak membezakan warna kulit dan bangsa. Beliau tidak lagi bercakap tentang hak sivil Afrika-Amerika semata-mata, tetapi menyentuh soal kebersamaan terhadap semua bangsa yang ada di Amerika Syarikat.

Mati Dibunuh Oleh Bangsa Sendiri

Selepas keluar daripada NOI, hubungan antara Malcolm dan juga Elijah menjadi tegang. Terdapat beberapa cubaan membunuhnya termasuklah rumahnya di New York yang dibaling dengan bom api oleh NOI pada 14 Februari 1965, tetapi Malcolm dan keluarganya terselamat. Seminggu selepas insiden tersebut, akhirnya Malcolm X terbunuh juga. Beliau dibunuh ketika sedang menyampaikan ceramah, dimana tiga orang lelaki dengan tiba-tiba menaiki pentas dan menembak Malcolm X di bahagian dada sebanyak 15 kali. Malcolm disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kesemua pembunuh Malcolm X yang merupakan ahli NOI telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan membunuh pada tahun 1966. Malcolm X dikebumikan di Ferncliff Cemetery di Hartsdale, New York. Semasa pengebumiannya, ribuan penyokong hadir sebagai penghormatan terakhir. Populariti dan kesan perjuangannya tidak merundum selepas kematiannya, malah menjadi perbualan yang hangat sekitar tahun 1990-an.

Baca juga: The Anguished Man, Lukisan Paling Berhantu Di Dunia…

Sumber daripada: Bussines Insider

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement