Berita
Netizen Kembang Tekak Tengok Roti Benggali Dipunggah Tanpa Plastik
Kejadian berlaku di Georgetown, Pulau Pinang..
Selepas berita roti buku naik harga, baru-baru ini telah tular di media sosial rakaman video yang agak kurang menyenangkan. Video berdurasi 52 saat itu memaparkan dua orang lelaki yang sedang memunggah beberapa buku roti daripada sebuah lori ke dalam sebuah kereta dengan tidak menggunakan sebarang pembungkusan atau pelapik. Dalam video tersebut, jelas menunjukkan dua individu tersebut tidak memakai sebarang sarung tangan.
Menurut laporan Kosmo, kejadian ini dipercayai berlaku di sebelah utara tanah air berdasarkan beberapa petunjuk yang ditunjukkan di dalam video tersebut seperti nombor pendaftaran kenderaan yang dirakam dan juga loghat yang digunakan perakam. Tetapi, lokasi sebenar dan waktu kejadian itu tidak dapat dipastikan.
Pelbagai reaksi telah dikongsi oleh netizen apabila melihat video tersebut dan rata-rata mereka terkejut memandangkan roti jenis itu sering digunakan untuk membuat roti bakar. Namun, ada juga sesetengah netizen beranggapan bahawa mungkin kesemua roti tersebut sudah tamat tarikh luput.
Tambahan, masih tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua lelaki itu adalah pekerja syarikat pembuatan roti atau pembelinya. Kalau pembeli, ke mana perginya roti yang dipunggah sebegitu banyak sekali? Menurut laporan Kosmo, masih belum menerima pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu.
Apapun, sama-samalah kita bersangka baik mungkin roti-roti tersebut hendak dilupuskan atau dijadikan makanan burung. Kalau benar ianya untuk dijual kepada orang ramai, semoga si pembekal roti tersebut menerima hukuman yang sepatutnya.
Baca juga artikel menarik yang lain:
Harga Roti Gardenia Naik Bermula 1 Disember 2020
Manis-Manis Lemak! Jom Sarapan Dengan Roti Telur Kaya
Sumber: Kosmo