Berita
Jalan Raja Laut 1 Tukar Nama Kepada Jalan Palestin, Menteri Tuntut Penjelasan?
Jalan Raja Laut 1 kini sebagai Jalan Palestin
Jalan Raja Laut 1 kini dikenali sebagai Jalan Palestin selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali membuat perasmiannya, semalam. Ia dikatakan sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, cadangan untuk menukar nama jalan itu tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu. Menurutnnya, Kementerian Wilayah Persekutuan memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.
Saya tiada halangan nak makan jln Di KL Jalan Palestine,tanda sokongan KL kpd perjuangan pembebasan AL QUDS.Namun sy maukan penjelasan kenapa pilih tukar nama JLN RAJA LAUT,nama besar Sejarah Melayu Dan KL.Kenapa tak tukar nama Inggeris spt JLN STONOR,JLN CONLAY,COCHRANE ROAD DLL https://t.co/8obBy4COcM
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) September 27, 2020
Selepas nama jalan tersebut berjaya ditukar secara rasmi, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, melalui ciapan di laman Twitter, menuntut penjelasan DBKL tentang pemilihan Jalan Raja Laut 1 yang dipilih sebagai jalan untuk menukar nama kepada Jalan Palestin.
Annuar berkata, nama Jalan Raja Laut membawa makna besar dalam sejarah Melayu dan Kuala Lumpur itu sendiri. Menurutnya lagi, beliau tiada halangan untuk membuat pertukaran nama tersebut sebagai tanda sokongan kepada perjuangan pembebasan AL-QUDS, tetapi mempersoalkan pemilihan Jalan Raja Laut yang merupakan nama besar dalam sejarah Melayu dan Kuala Lumpur.
Annuar turut mempersoalkan mengapa DBKL tidak memilih nama jalan Inggeris yang lain seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan jalan-jalan lain. Walau bagaimanapun, menurut DBKL, proses mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin mengambil masa agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur ditetapkan seperti penamaan jalan-jalan lain.
Sumber daripada: Harian Metro