Connect with us
Webinar Kool

Gaya Hidup

Ketahui Tanda² Amaran Seseorang Berniat Bunuh Diri!

Sama-sama peka dengan tanda-tanda ini…

Published

on

Bunuh diri bukan lah satu isu yang remeh, malah ia merupakan satu masalah yang bakal memberi kesan kepada mangsa sekiranya berlaku cubaan bunuh diri, serta kesan kepada keluarga mangsa juga. Pernah tak anda terfikir tentang tanda-tanda atau amaran yang memperlihatkan seseorang individu itu dalam cubaan bunuh diri? Mungkin antara kita hanya menyedari tentang tanda-tanda tersebut selepas segalanya sudah terlambat. Tetapi sebenarnya tanda-tanda ini boleh dilihat dan mungkin orang yang anda kenal itu boleh diselamatkan.

Mengikut satu kajian, sekitar 70 peratus individu yang membunuh diri sebenarnya menunjukkan petanda-petanda ingin menamatkan riwayat secara lisan atau bukan lisan. Ini bermaksud, sekiranya anda ternampak akan tanda-tanda ini, anda boleh dapatkan bantuan yang sepatutnya sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Berikut merupakan tanda-tandanya melalui perkongsian di laman Hello Doktor:

Kesedihan Melampau

Mereka yang merancang untuk bunuh diri akan mengalami kesedihan yang agak panjang selain daripada gangguan emosi. Kemurungan adalah faktor risiko utama bagi kejadian bunuh diri. Jadi ini mungkin boleh jadi petanda yang jelas untuk anda perhatikan. 

Ketenangan Secara Tiba-Tiba

Berasa tenang itu merupakan satu emosi yang baik bagi seseorang. Namun, sekiranya ia berlaku secara tiba-tiba selepas seseorang sedang mengharungi satu episod kehidupan yang amat sukar, ia mungkin satu petanda yang kurang baik. Rasa tenang yang ditunjukkan berkemungkinan individu tersebut sudah membuat keputusan untuk meninggalkan dunia ini. 

Mengasingkan Diri

Simptom seterusnya adalah mengasingkan diri atau gemar mengelakkan diri daripada bergaul dan melakukan aktiviti sosial dengan rakan-rakan lain. Ini adalah salah satu daripada simptom kemurungan. Selain itu, individu tersebut juga menunjukkan hilang minat terhadap sesuatu perkara yang pernah digemarinya dahulu. 

Perubahan Personaliti Atau Penampilan

Perubahan personaliti dan sikap boleh dilihat dimana individu tersebut tidak berkelakuan seperti kebiasaannya. Tambahan lagi, individu tersebut mungkin tidak menunjukkan keterampilan yang baik kerana sudah tidak berminat lagi untuk menjaga penampilan peribadinya.

Tingkah Laku Bahaya

Contoh-contoh tingkah laku bahaya adalah seperti memandu dalam keadaan merbahaya, melibatkan diri dengan aktiviti sosial yang tidak baik seperti penyalahgunaan dadah serta pengambilan minuman keras. Kelakuan ini dikatakan tanda seseorang itu tidak lagi memikirkan tentang keselamatan dirinya lagi. 

Trauma Atau Krisis Kehidupan

Krisis kehidupan yang besar berkemungkinan menjadi pencetus seseorang itu menanamkan niat untuk bunuh diri. Antara krisis yang mampu meninggalkan trauma adalah seperti kematian orang yang disayangi, jatuh muflis atau menanggung bebanan hutang yang banyak, serta bebanan hidup yang dirasakan tak tertanggung lagi.

Mengancam Untuk Bunuh Diri

Individu yang menyatakan atau membuat ancaman ingin bunuh diri mempunyai kemungkinan sudah memasang niat tersebut. Walaupun ianya hanya kata-kata ugutan, tetapi ugutan seperti ini perlu dipandang serius. Selain itu, kata-kata ugutan seperti ini tidak boleh dilihat sebagai satu gurauan. 

Sekiranya anda berhadapan atau mengenali individu yang menunjukkan tanda-tanda ini, segera lah mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan lain atau ahli keluarganya. Jangan tinggalkan individu tersebut berseorangan. Selain itu, jauhkan sebarang senjata tajam yang mungkin akan digunakan oleh individu tersebut untuk melakukan perkara yang membahayakan diri. Sekiranya anda perlukan bantuan sokongan emosi untuk rakan anda, boleh juga hubungi befrienders di talian 03-79568145 yang beroperasi selama 24 jam.

Perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah mendapatkan nasihat pakar. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak membantu kita dalam mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku. 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement