Connect with us
Kool FM

Gaya Hidup

Kemahiran Baharu Yang Diperlukan Dalam Kerjaya Masa Hadapan

Mendapatkan pekerjaan semakin mencabar sekarang…

Published

on

Tahun ini merupakan tahun yang benar-benar mencabar buat kita semua. Baik mereka yang masih belajar, ataupun sudah bekerja. Tetapi bagi mereka yang bekerja, mungkin ia menjadi tahun yang mengubah segala kemahiran yang kita tahu tentang dunia pekerjaan kepada amalan-amalan atau norma baharu. Kehidupan peribadi dan kerja kita kini menjadi satu, dan jarak antara tempat tidur dan meja kerja di rumah mungkin menjadi jarak baharu untuk kita ‘hadir’ ke tempat kerja. Bagi sesetengah orang pula, mungkin membawa anak kecil ke tempat kerja menjadi rutin baharu.

Kita belajar untuk sesuaikan diri.

Warga kerja kini sudah dapat menyesuaikan keadaan dengan mengadakan mesyuarat secara virtual. Selain itu, kita juga mencipta satu rutin bagi menangani tekanan kerja di rumah. Anak kecil di rumah pula kita bahagikan masa mereka dengan masa kerja kita. Bagi yang kehilangan kerja semasa pandemik Covid-19 melanda, ia memaksa kita untuk memikirkan cara terbaik mendapatkan kerja atau membuat pekerjaan sementara bagi menampung kos hidup seharian. Kita belajar dan berkongsi dengan rakan-rakan kita tentang perubahan terkini.

Jadi segala kemahiran ini akan menjadi kemahiran baharu untuk kerjaya di masa hadapan. Kool FM akan kongsikan kepada anda apakah kemahiran tersebut.

Hubungan Dalam Kumpulan Penting Untuk Kesejahteraan

Disebabkan pandemik Covid-19 memaksa kita untuk menjarakkan diri antara satu sama lain, dilaporkan terdapat peningkatan dalam pembelajaran secara kumpulan untuk belajar kemahiran yang baru. Trend ini banyak dilakukan oleh kalangan orang muda (Generasi Z terutamanya), yang mana rata-rata sedang berusaha untuk mendapatkan pekerjaan pada masa banyak syarikat-syarikat membekukan pengambilan pekerja. Semua ini dilakukan oleh mereka secara atas talian. Pada asalnya pembelajaran atas talian tidak dilihat sebagai satu cabang sosial yang penting, namun kini ia sebagai satu cara untuk kita kekal berhubung.

Menurut data yang diambil daripada Fast Company, semasa pandemik ini sedang berlaku, para pekerja mula rasakan kurang hubungan dengan penyelia, rakan sekerja serta rakan-rakan mereka yang lain di tempat kerja. Secara tidak langsung, ia menunjukkan kemahiran untuk kekal berhubung dalam kumpulan adalah penting walaupun tidak bersemuka lima hari seminggu seperti sebelum ini. Selain itu, kemahiran seperti kecergasan emosi, mendengar dengan efektif, dan juga pemikiran kritikal (critical thinking) amat diperlukan buat masa kini dan masa hadapan.

Mengutamakan ‘Penjagaan Diri’ Menjadi Lebih Penting Daripada Sebelum Ini

Dalam kita menyesuaikan diri melakukan kerja dari rumah, adalah amat penting untuk meletakkan jurang antara urusan rumah dan juga kerja. Ini merupakan kemahiran baharu yang dilihat sesuai dengan keadaan semasa dan juga akan datang. Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan mewujudkan jadual dan juga ruang kerja yang asing, yang bersesuaian dengan diri kita. Selain itu, perlu juga kita mengamalkan komunikasi secara produktif dengan rakan sejawat kita.

Bagi golongan ibu bapa pula, adalah penting untuk mengurus dan membuat perancangan awal sekiranya berlaku gangguan atau kecemasan di rumah. Ini yang dikatakan sebagai mengutamakan ‘penjagaan diri’ kerana ia akan memberi impak kepada hasil kerja kita secara tidak langsung. Mungkin ia bukan lah kemahiran yang akan ditanya semasa sesi temuduga, tetapi ia kemahiran yang diperlukan semasa melakukan pekerjaan dalam suasana norma baharu. 

Kemampuan Melihat ‘Trending’ Akan Menjadi Kemahiran Teras Dalam Kerjaya

Pasaran kerja pasca Covid-19 boleh dilihat berubah sama sekali. Kerja yang sebelum ini dilihat hanya dapat dilakukan di pejabat, kini telah dilakukan di rumah. Kerja yang sebelum ini dilihat kurang penting, kini menjadi salah satu aset terpenting dalam syarikat. Walaupun sesetengah industri seperti kesihatan dan perkhidmatan atas talian kekal berkembang, tetapi peningkatan jumlah pengangguran tetap tidak dapat dielakkan. Para profesional juga dilihat mengasah kemahiran dalam pelbagai cabang untuk kekal relevan dalam industri. Sebagai contoh, kini pekerjaan yang mencari profesional dengan kemahiran Python meningkat sebanyak 29% dari tahun ke tahun.

Trend ini juga berlaku kepada pekerja sedia ada yang tidak mempunyai kemahiran baharu yang diperlukan oleh syarikat untuk mengembangkan operasi mereka. Kesudahannya, pekerja tersebut terpaksa ditukarkan dengan mereka yang memiliki kemahiran yang diperlukan. Dalam situasi yang lain, syarikat tersebut akan membantu pekerja tersebut untuk mendapatkan kemahiran baharu yang diperlukan oleh syarikat. Jadi kemampuan melihat dan memahami trend mampu menjadikan kita sebagai pekerja yang sentiasa peka dengan keadaan semasa.

 

 

 

 

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Instagram

Advertisement

Facebook

Advertisement

Recommended Post

Advertisement