Gaya Hidup
Balik Ke Rumah Mak & Ayah, Ini Beberapa Perkara Yang Perlu Dijaga
Masa itu sangat berharga..
Kebelakangan ini, banyak kisah-kisah yang dibaca mengetengahkan tingkah laku anak-anak yang kian hilang rasa hormat terhadap ibu bapa.
Ada berita yang disiarkan menerusi portal tempatan memaparkan seorang pemuda sanggup membunuh ibu kandung sendiri, gara-gara mengejutnya daripada tidur.
Mungkin, media perlu mengambil pendekatan untuk mendidik masyarakat supaya menjadi anak yang penyayang serta berbakti terhadap kedua orang tua yang telah banyak berjasa ini.
Sehubungan itu, terdapat beberapa perkara yang perlu dijaga sekiranya anda merancang untuk pulang ke kampung bagi menjenguk ibu bapa:-
1. Apabila ibu hidangkan air, kita minum dan terasa air agak manis atau tawar, lebih baik berdiam diri
Ayat-ayat seperti “Manisnya air mak buat ni! Tawarnya air mak ni!” cukuplah sekadar dalam hati kita sahaja.
Sebaliknya pergilah ke dapur dan ambillah air masak, campurkanlah dengan air tadi. Kemudian, beritahulah alasan berbuat demikian sehabis baik kepada ibu.
Gembirakan hatinya. Mak tak kecil hati, tak terluka perasaannya.
2. Bila dipelawa makan masakan ibu, elakkan memberitahunya yang kita tak makan itu, ini kononnya nak jaga badan
Hati mak kena jaga ya. Dah tak makan nasi, pergilah makan lauk dan sayurnya. Mak gembira sangat tengok anak-anak mak makan. Terkenang sungguh mak masa tengok kita makan, terbayang-bayang semasa kita kecil-kecil dahulu. Mak makan lambat-lambat. Hanya sekadar ambil peluang curi-curi tengok kita makan masakannya. Indah sungguh bagi mak.
Oh mak, hati mak bila dah makin berusia, makin mudah tersentuh hati. Semasa ketawa pun boleh sebak. Kan?
3. Bila kita sampai, tengok-tengok ayah tak ada. Ayah tidur. Atau pun sepanjang kita di rumahnya, kita perasan ayah kerap tidur.
Tak perlulah kita pergi ke bilik ayah, kejutkan ayah. Biarkanlah ayah. Biar ayah bangun sendiri.
Bila ayah keluar dari bilik, elakkan dari menyapa seperti “Hai abah, puas dah tidur? Hai ayah, asyik tidur je kerjanya.”
Ayah dah tua. Jalan tak segagah macam dahulu. Tenaga dah semakin berkurang. Beza semasa muda dahulu. Ingatlah. Ini masa ayah berehat.
4. Ayah suka ajak kita keluar. Kadang bukan ke mana pun, sekadar pusing keliling kampung, pusing bandar sekejap.
Elakkanlah dari berkata “Tak naklah pergi. Lain kalilah.”
Semasa kita kecil-kecil dahulu, inilah orang yang tak pernah jemu bawa kita pergi meronda ke mana sahaja. Baik naik kenderaan atau berjalan kaki, sama ada dikendong, didukung kita atau diletakkan kita di belakang tengkuknya.
Sungguh. Permintaan ayah itu, sebenarnya adalah bagi mengubat rindunya membawa kita bersiar-siar satu ketika dahulu. Cuma bezanya, kita pula yang membawanya.
Sama ada kita atau mereka yang pergi dahulu, tetapkan dalam hati untuk memberi layanan sebaiknya kepada mereka.
Manfaatkanlah masa bersama. Sampai satu masa, inilah rindu yang tak akan boleh dibuang dari fikiran dan hati kita, juga mereka. Kekal selama-lama selagi hayat dikandung badan.
Sumber daripada: Twitter abang_jambang