Bunga Cintaku | Kool FM
Home > Dramatik Kool > Bunga Cintaku

Bunga Cintaku

Sinopsis

Bunga merupakan seorang gadis kurang upaya penglihatan, namun personaliti Bunga menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang mempunyai keyakinan tinggi serta berjaya dalam bidang yang diceburinya. Bunga merupakan graduan daripada sebuah universiti tempatan dan kini menjawat jawatan Pegawai Perhubungan Awam di sebuah organisasi. Walaupun telah membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk dia berjaya, Bunga tetap tidak dapat lari daripada pandangan stereotaip masyarakat terhadap golongan kurang upaya. Satu hari pembedahan untuk memulihkan penglihatan Bunga gagal, namun Bunga tetap menerima berita duka tersebut dengan sikap positif. Sehingga pada suatu hari Bunga bertemu dengan seorang lelaki iaitu Gibran yang bekerja sebagai seorang pembantu perubatan di hospital tempat Bunga menjalani pembedahan mata. Gibran tertarik untuk mengenali Bunga kerana bagi Gibran Bunga seorang gadis yang istimewa dan lain daripada wanita yang pernah dikenalinya. Gibran dan Bunga menjalinkan hubungan persahabatan. Bersama Gibran banyak peristiwa manis yang dilalui Bunga, yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini, seperti menonton wayang, hiking, berbasikal dan sebagainya. Kehadiran Gibran benar-benar menceriakan hidup Bunga, malah bersama Gibran bunga tak perlu jadi kuat setiap masa, Bunga boleh menangis dan mendedahkan kelemahannya tanpa rasa takut dipandang rendah. Gibran pula sebenarnya telah lama jatuh cinta pada Bunga, sejak pertama kali dia lihat Bunga, hatinya seakan-akan mengatakan itulah cinta sejatinya. Gibran berterus-terang perasaannya kepada Bunga. Malangnya Bunga tidak membalas cinta Gibran. Sebenarnya Bunga pernah melalui pengalaman cinta yang pahit pada masa silam. Bunga takut dikecewakan untuk kali kedua. Persahatan mereka mula menjadi renggang. Bunga minta agar Gibran jauhkan diri darinya. Gibran akur kerana dia menghormati keputusan Bunga. Sejak itu Bunga menjalani kehidupan sendirian. Setiap hari dia terlalu rindukan Gibran, namun keegoannya menjadi penghalang untuk dia mencari Gibran. Setiap hari Bunga akan berulang alik menaiki tren untuk pergi dan pulang dari tempat kerja. Pada suatu hari, seorang perempuan menegur Bunga. Menurut perempuan itu, Bunga sangat bertuah dan perempuan itu sangat cemburu melihat Bunga. Bunga buntu dan tidak faham akan maksud perempuan tersebut. Fikir Bunga tak mungkin ada orang yang akan cemburu pada gadis buta seperti dirinya. Gibran pula tidak pernah melupakan Bunga walaupun Bunga enggan bertemunya lagi. Suatu hari Bunga bertemu perempuan yang pernah memberitahu Bunga bahawa dia sangat cemburukan Bunga. Bunga minta penjelasan apa yang dimaksudkan oleh wanita itu. Wanita itu berkata Bunga sangat bertuah kerana setiap hari ada seorang lelaki setia menghantarnya menaiki tren dan menantinya pulang. Lelaki itu kelihatan sangat menyayangi dan menjaga Bunga. Bunga kelu mendengar kata-kata perempuan itu. Bunga yakin lelaki yang setiap hari mengekorinya itu adalah Gibran. Lelaki yang diusir dari hidupnya. Tak sangka Gibran tak pernah melupakan Bunga. Sejak itu bunga cuba mencari Gibran di stesen keretapi namun dia tidak merasakan kehadiran Gibran di situ. Bunga mula risau, adakah Gibran sudah lelah menanti dirinya atau pun ada sesuatu yang menimpa lelaki itu. Bunga tidak dapat menahan diri. Bunga bergegas ke hospital tempat Gibran bekerja. Sesampainya di hospital Bunga hanya bertemu dengan Gibran yang terbaring tidak sedarkan diri di katil hospital. Menurut doktor, Gibran koma setelah ditimpa kemalangan. Bunga sedih dan menyesal kerana melayan Gibran dengan buruk. Setiap hari Bunga datang melawat Gibran dan menunggu saat Gibran sedar. Bunga tak sanggup kehilangan lelaki yang dicintainya. Akhirnya Gibran sedar dari koma dan mendapati Bunga menantinya. Gibran dan Bunga akhirnya bersatu. Mereka berjanji walau apa pun yang berlaku. Mereka tetap bersama untuk selama-lamanya.