Abu Kat Mana | Kool FM
Home > Dramatik Kool > Abu Kat Mana

Abu Kat Mana

Sinopsis

Hari pertama puasa di Kampung Kedondong kecoh kerana insiden kehilangan kambing seorang penduduk kampung iaitu Malik. Sebagai wakil persatuan belia dan terkenal dengan sikap lantangnya Malik telah menggesa Tok Ketua mengadakan mesyuarat peringkat kampung disebabkan hal tersebut. Dalam mesyuarat tersebut, Malik turut mengemukakan beberapa permasalahan yang berlaku di Kampung Kedondong seperti masalah gejala sosial, masalah kebersihan dan sebagainya. Tok Ketua serta penduduk kampung kurang menyenangi sikap Malik yang suka membesar-besarkan hal dan menganggap dirinya betul.

Di Kampung Kedondong, ada seorang pemuda yang dibenci oleh Malik iaitu Ijoy. Ijoy seorang pemuda yang agak nakal. Sewaktu orang lain pergi sembahyang terawih, Ijoy dan kawan-kawannya pula melepak di simpang kampung sambil bermain gitar. Bagi Malik, Ijoy dan kawan-kawannya membawa pengaruh negatif  kepada penduduk di Kampung Kedondong. Ijoy pula tidak ambil port tentang sikap Malik terhadapnya.

Sejak kambingnya hilang, Malik mula menuduh orang lain secara melulu. Tambah memburukkan keadaan apabila Malik menganggap dirinya sebagai polis moral di Kampung Kedondong. Malik secara sukarela pergi menangkap orang yang tidak puasa dan banyak lagi. Setiap hari ada sahaja perlakuan penduduk kampung yang salah di mata Malik. Penduduk kampung yang tidak tahan dengan sikap Malik, pergi mengadu kepada Tok Ketua. Namun segala nasihat Tok Ketua berikan pada Malik tak ubah mencurah air di daun keladi. Malik yang tidak habis-habis mahu membetulkan penduduk di kampungnya tidak sedar bahawa adik perempuannya sendiri terjebak dalam gejala sosial.

Dalam masa yang sama Ijoy dan rakan-rakannya secara diam-diam sedang merancang satu acara persembahan yang bakal dilangsungkan di kampung mereka. Malik dapat tahu tentang rancangan Ijoy dan kawan-kawannya dan mengesyaki bahawa Ijoy sedang merancang untuk mengadakan gig black metal. Pada hari persembahan tersebut, Malik bersama-sama dengan penduduk kampung menyerbu pentas persembahan yang dianjurkan oleh Ijoy. Kebetulan waktu itu mereka ternampak seekor kambing ditambat berdekatan dengan pentas. Malik naik angin dan menuduh Ijoy yang mencuri kambingnya untuk digunakan semasa gig berlangsung. Berlaku kekecohan ketika itu.

Tiba-tiba seorang lelaki tampil dan mengaku yang kambing tersebut ialah kepunyaannya. Menurut lelaki itu Tok Ketua yang memintanya mencari kambing untuk dijadikan kambing golek sempena majlis berbuka puasa yang bakal diadakan di rumahnya. Rupa-rupanya lelaki yang membawa kambing ke konsert tersebut ialah anak saudara Tok Ketua yang datang dari kampung sebelah. Anak saudara Tok Ketua singgah ke persembahan yang dianjurkan oleh Botak dalam perjalanan ke rumah Tok Ketua bagi menghantar kambing. Tok Ketua yang ada di tempat kejadian turut mengiakan cerita lelaki tersebut.

Malik tetap tak mahu mengalah. Malik menuduh Ijoy mengadakan gig dan aktiviti tidak bermoral di bulan puasa. Namun tuduhan Malik itu ternyata salah. Rupa-rupanya Ijoy dan kawan-kawannya menganjurkan persembahan nasyid serta ceramah agama dan menjemput artis nasyid dan penceramah terkenal dari bandar. Ibu Malik tiba-tiba tampil dan mengatakan bahawa dia tahu siapa yang mencuri kambing Malik. Sebenarnya adik Malik dan teman lelakinya yang telah mencuri kambing Malik dan menjualnya, mereka berdua bercadang mahu gunakan wang hasil jual kambing itu untuk kahwin lari. Malik yang malu teramat sangat dan meminta maaf pada semua orang.